SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno Kepong, Datuk Norizan Ali cedera parah di bahagian perut dan jari tangan dipercayai terputus akibat ditikam di depan rumahnya di Ampang, Selangor awal pagi ini.
Beliau sedang menjalani pembedahan di Hospital Ampang, kata isterinya Datin Roslinda Kamaruddin kepada Sinar Harian Online.
"Datuk kena tikam di kawasan depan rumah, sekitar 3.30 pagi. Keadaan serius, cedera teruk di perut, jari terputus.
"Sedang dibedah (di Hospital Ampang), doktor masih periksa keadaan, nak lihat kecederaan lain," kata beliau sebentar tadi.
Motif Norizan, awal 40-an dan seorang ahli perniagaan, diserang belum diketahui.
"Saya tidak tahu mengapa Datuk diserang. Tetapi barang-barang tak hilang, jadi hendak kata samun, saya tak tahu," kata beliau yang dalam perjalanan ke rumah mereka di Taman Dagang 3 dari hospital.
"Saya sedang balik ke rumah, polis hendak jalankan siasatan," katanya.
Menurut anak mangsa, ketilka kejadian ayahnya baru sahaja pulang dari menonton perlawanan bola sepak.
"Ayah sempat menggegar pintu rumah dan meminta pertolongan, bila kami keluar tengok ayah terbaring sambil mengerang kesakitan dengan jarinya juga hampir putus," katanya.
Mangsa yang kritikal dikejarkan ke Hospital Ampang dan terpaksa menjalani pembedahan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. ..~ SH