ARTIKEL SEBELUM

26/09/12

Anwar Ibrahim memberitahu isu penggunaan jet peribadi

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu isu penggunaan jet peribadi ketika beliau ke Sabah dan Sarawak tidak pernah disembunyikan.

Malah beliau turut meminta Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk mengambil gambar dan menyebarkannya melalui laman twitter agar semua rakyat tahu apa yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

"Penggunaan jet peribadi ini adalah bagi perjalanan saya dari Kuala Lumpur, Labuan, Kota Kinabalu dan Kuching seterusnya balik semula ke Kuala Lumpur.

"Saya melihat mereka memperbesarkan isu ini yang lebih kepada kepentingan peribadi mahupun wujud unsur rasuah, malah kita lebih telus memberitahu kepada semua dan perkara ini boleh disemak," jelasnya pada sidang media di lobi parlimen.

Anwar turut memberitahu, beliau telah menjelaskan perkara tersebut melalui laman twitternya sebelum ini.

"Mereka yang ingin mengetahui siapa pemilik jet tersebut boleh menghubungi Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia kerana semua maklumat pemilik ada dalam simpanan DCA," sambungnya lagi.

Anwar yang sebelum itu memberitahu, beliau dihubungi rakannya bahawa ada seorang individu yang sanggup memberi kebenaran beliau menggunakan jet peribadi tersebut.

"Jet peribadi ini diuruskan oleh rakan saya dan siapa pemiliknya mereka yang ingin mengetahui oleh hubungi DCA.

"Ia macam saya bila kereta rosak, maka kawan akan memberi pinjam kereta mereka begitulah urusan penggunaan jet tersebut," sambung beliau lagi.

Anwar yang secara berselorok menyatakan beliau hari ini juga terpaksa meminjam baju kot dari rakannya kerana tidak membawa bajunya sendiri serta menyifatkan itu perkara biasa apabila ada rakan ingin membantu.

"Saya tahu banyak isu akan ditimbulkan dan sebelum saya bersetuju untuk menerima bantuan jet peribadi itu, saya telah pastikan bahawa pemilik tersebut tidak mempunyai apa-apa kepentingan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Umno dan MCA cuba memperbesarkan isu ini adalah bertujuan untuk menakutkan ahli-ahli perniagaan agar tidak lagi membantui Pakatan.

"Tetapi mereka terus merahsiakan isu-isu rasuah, penyelewengan serta penggunaan dana awam untuk kepentingan mereka sendiri," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau juga turut memberitahu jika ada ruang dari ahli-ahli perniagaan yang ingin meminjam jet peribadi mereka beliau mengalu-alukannya terutamanya apabila hampir pilihanraya nanti.

"Kita perlukan helikopter di Sabah dan Sarawak termasuk jet peribadi untuk urusan kita (Pakatan) jika terlalu terdesak untuk ke mana-mana," tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi. ~ Harakahdaily
 
 
 
 

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud