KUALA TERENGGANU – Jika sebelum ini kita hanya mendengar pengantin terpaksa dinikahkan di hospital disebabkan beberapa musibah yang tidak dapat dielak, kini lain pula ceritanya dengan pengalaman seorang jurunikah yang terpaksa menikahkan pasangan pengantin di hospital setelah ditahan di wad.
Jurunikah, Harun Noh, 85, yang tinggal di Kampung Bukit Tunggal ditahan di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) kira-kira jam 12 malam, malam kelmarin setelah mengalami sesak nafas akibat penyakit lelah yang dihidapinya.
Katanya, pada mulanya dia ingin pulang ke rumah kerana telah berjanji untuk menikahkan pasangan pengantin itu di Kampung Tok Jembal, namun, doktor menasihatkan supaya dia tidak pulang dahulu kerana tahap kesihatannya tidak mengizinkan.
“Walaupun telah tetapkan tarikh untuk nikahkan mereka, saya tidak boleh buat apa-apa melainkan terpaksa memaklumkan kepada pasangan itu pagi tadi (semalam) supaya datang ke hospital untuk dinikahkan di sini.
“Rasa teruja dan gembira pun ada sebab selama lebih 30 tahun jadi jurunikah, ini kali pertama saya terpaksa nikahkan orang di hospital. Walaupun rasa kasihan dengan pasangan pengantin, ia sedikit sebanyak meringankan tugas saya,” katanya.
Selain bertugas sebagai jurunikah, Harun sebelum ini pernah bertugas sebagai imam di Masjid Kampung Bukit Tumbuh dan kini masih mengajar mengaji al-Quran di kediamannya.
Bagi pasangan pengantin yang masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Faris Marwan Abdul Rahman, 22 dan Nurul Adina, 25, mereka masih terkejut dan tidak percaya akan diijabkabulkan di hospital.
“Kami sebenarnya masih terkejut, tetapi reda atas ketentuan ini dan bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.
Menurut Faris Marwan yang berasal dari Kampung Bayam, Kota Bharu, Kelantan, dia dimaklumkan majlis akad nikah akan dijalankan di hospital ketika dalam perjalanan dari Kelantan ke Terengganu pagi tadi (semalam).
“Ini pengalaman baru buat saya, bagaimanapun, bila semuanya telah selesai saya rasa lega.
“Memandangkan kami berdua masih belajar, kami merancang untuk tinggal berasingan dahulu sebelum menamatkan pelajaran,” katanya.