ARTIKEL SEBELUM

17/08/12

Nasha: 'Saya tidak ada niat masuk Umno'

Nasharudin Mat Isa


Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan para ulama di Mekah, Arab Saudi baru-baru ini tidak sedikitpun menyentuh soal Umno atau PAS, kerana isu yang dibincangkan adalah lebih besar daripada itu, ia perbincangan mengenai ummah.

"Itu yang saya hairan sejak dulu bila ada saja pertemuan, hujahan timbul yang saya akan meninggalkan PAS dan masuk Umno.

"Saya cabar, di mana saya pernah buat kenyataan akan meninggalkan PAS atau masuk Umno?" katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba dari Jeddah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas teguran beberapa pihak dalam PAS selepas akhbar tempatan menyiarkan gambar beliau menyertai perdana menteri dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Mekah.

Nasharudin hari ini menasihatkan mereka yang membuat tuduhan dan andaian tidak betul mengenai pertemuan di Mekah itu supaya bertaqwa kepada Allah dan banyak beristifar khasnya pada hari-hari terakhir Ramadan ini.

Katanya beliau dijemput ke Mekah dengan visa khas oleh kenalannya yang merupakan ulama di Arab Saudi sempena 10 malam terakhir Ramadan, dan kesempatan itu digunakan oleh para ulama berkenaan untuk bertanya bolehkah diatur pertemuan dengan perdana menteri.

"Saya hubungi pejabat perdana menteri, mereka kata boleh, sebab itulah pertemuan itu diadakan," katanya dan menambah perbincangan yang antara lain menyentuh isu Syria dan Rohingya itu diadakan di sebuah villa kenalannya yang terletak bersebelahan dengan Masjidil Haram.

Menurutnya para ulama itu menyebut mengenai peranan yang boleh dimainkan dan pelbagai kejayaan yang dicapai Malaysia, di samping berpesan supaya perdana menteri memastikan Malaysia terus mengangkat pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam memelihara kesucian Islam.

"Persoalan saya ialah adakah perbincangan mengenai penyatuan ummah itu satu jenayah? Yang menariknya tiba-tiba saya dikaitkan akan masuk Umno. Untuk kesekian kalinya saya sebutkan secara terbuka, saya tidak ada niat untuk masuk Umno," katanya.

Katanya beliau menganggap semua yang mengucap kalimah syahadah sebagai 'saudara seiman' termasuk pemimpin serta anggota Umno, dan mereka yang bukan Islam adalah sebagai 'saudara seinsan'.

Menjawab satu soalan mengenai cadangan beberapa pihak supaya beliau berjumpa dengan Majlis Syura PAS untuk membuat penjelasan, Nasharudin berkata beliau perlu melihat perkembangan terkini terlebih dahulu.

"Saya pun tak tahu apa perkembangan terkini dalam tempoh lapan jam penerbangan, saya difahamkan ada kenyataan (oleh beberapa pemimpin PAS) yang ditarik balik, jadi saya nak tengok dulu, kerana turun saja dari kapal terbang tadi saya dapat beberapa panggilan telefon yang menyatakan bahawa beberapa kenyataan telah ditarik balik, saya akan periksa," katanya.

Sementara itu merujuk kepada Karpal Singh, Nasharuddin berkata beliau kekal dengan pandangan bahawa pengerusi kebangsaan DAP itu bukan hanya sekadar anti-hudud tapi juga adalah anti-Islam.

"Sebagai peguam, dia tahu apa itu 'undang-undang substantif' dan 'undang-undang prosedur'. Pelaksanaan hudud memerlukan 'pembuktian' yang cukup tinggi untuk boleh dilaksanakan. Ada kesalahan yang memerlukan tahap pembuktian ke arah tanpa sebarang kesangsian, tahap pembuktian yang maksimum sebelum boleh dilaksanakan," katanya.

Bagaimanapun menurutnya Karpal menolak semua itu hanya kerana ia adalah undang-undang Islam, malah beberapa kali mengeluarkan kenyataan "langkah mayat saya dahulu" berhubung perkara itu.

"Maka saya mengambil pendirian, saya juga akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan agama saya. Terpulang kepada mana-mana pihak, yang mungkin kerana percaturan politik, akan mendiamkan diri seperti syaitan-syaitan bisu yang sering diungkap oleh pimpinan tertinggi parti," katanya.

"Insya-Allah saya tidak akan membiarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya menghina agama saya. PAS harus lebih tegas menyatakan pendiriannya dalam hal ini kerana sokongan yang diberikan oleh masyarakat umum adalah kerana perjuangannya untuk menegakkan syiah Allah, namun dalam isu hudud yang diserang dan dikecam oleh Karpal Singh masih ramai yang tertungu-tunggu apakah sikap PAS terhadap Karpal Singh," tambahnya.

Katanya beliau berharap apabila penjelasan dibuat oleh kepimpinan tertinggi PAS kepada masyarakat umum, maka akan terjawab segala kekaburan, kerana ketika ini kepimpinan dan anggota PAS mungkin sudah faham segalanya, namun masyarakat umum masih menanti penjelasan.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud