ARTIKEL SEBELUM

21/08/12

Kata Anwar: Umno cemburu Pas-DAP akrab

PERMATANG PAUH - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno BN sangat takut dengan keakraban komponen parti dalam Pakatan Rakyat khususnya antara Pas dan DAP.

Menurutnya, selagi keakraban antara parti-parti ini kuat, selagi itu Umno BN takut untuk mengumumkan tarikh pilihan raya umum.

Ketua Umum PR melahirkan pendirian ini ketika ketiga-tiga anggota perikatan - PKR, DAP dan Pas berhadapan dengan serangan bertubi-tubi.

Sebab itu katanya, Umno BN sekarang ini sedang sedaya upaya cuba memecahbelahkan kedua-dua parti ini dengan memainkan pelbagai isu yang boleh menimbulkan pertentangan.

"Umno BN menanti perpecahan dalam Pakatan rakyat diantara DAP dengan Pas atau PKR baru mereka dapat menyusun semula strategi sepertimana lazimnya," kata beliau dipetik Harakahdaily, hari ini.

Anwar berkata, berbaga-bagai isu dicanangkan, namun tidak merosakan benteng antara DAP dan Pas.

"Itulah kekuatan kita yang terjalin atas sikap tanggungjawab terhadap kestabilan negara," katanya.

Tambah beliau, pemimpin Pakatan Rakyat tidak perlu untuk mengikut 'tarian' perkauman Umno-BN, sebaliknya melipat gandakan usaha mewujudkan suasana harmoni kalangan kaum.

"Jika kita tidak melatah, apa (jua) isu yang dibangkitkan Umno BN akan mati begitu sahaja.

"Biarkan Umno BN menari seorang dengan berbagai gaya, kita jangan ikut sebaliknya memerhati dengan serius mudah-mudahan mereka letih sendiri.

"Pakatan Rakyat teruskan usaha mendekati rakyat di samping kemaskan jentera di semua peringkat, " tegasnya.-SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud