PEMAIN nombor dua dunia Datuk Lee Chong Wei layak ke separuh akhir badminton Sukan Olimpik 2012 selepas mengalahkan pemain India Kashyap Parupali dalam saingan suku akhir di Arena Wembley di sini, lewat malam tadi (awal pagi ini waktu Malaysia).
Chong Wei mengambil masa 44 minit untuk melakarkan kemenangan 21-19, 21-11 ke atas lawannya itu dan akan menentang pemain nomboor tiga dunia Chen Long dari China pada perlawanan separuh akhir.
Pada set pembukaan, Chong Wei, mula melakukan gerakan perlahan untuk mencari rentak selepas tidak beraksi secara kompetitif akibat kecederaan buku lali sejak Mei lalu, dan terpaksa ketinggalan 3-6, 5-9, 6-10, 10-14.
Bagaimanapun, Chong Wei, yang menang pingat perak pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, berjaya memburu mata demi mata untuk menyamakan kedudukan 15-15 sebelum mengutip set pertama 21-19 dalam masa 27 minit.
Pada set kedua, Chong Wei mula memantapkan pukulan set-piece dan Kashyap tidak dapat menandingi ketangkasan pemain pilihan utama itu sebelum akur dengan keputusan 21-11 dalam masa 17 minit.
Selepas mengharungi dua perlawanan dalam kumpulan A menentang Ville Lang dari Finland dan pemain Indonesia, Simon Santoso, Chong Wei berkata, walaupun nampak mudah, namum Kasyhap memang memberi tekanan kepadanya.
"Dia bagus dan cuba mengganggu rentak sehingga memaksa saya melakukan beberapa kesilapan. Sekiranya saya ikut rentaknya, dia akan kalahkan saya," kata
Chong Wei selepas perlawanan itu.
Dalam pada itu, dalam satu lagi pertemuan suku akhir, Chen Long tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan pemain berpengalaman dari Denmark, Peter
Gade dengan keputusan 21-16, 21-13.
Mengenai pertemuan dengan Chen Long esok, Chong Wei berkata, lawannya itu dikenali dengan corak agresif dengan melakukan pukulan rali.
"Saya perlu bersedia untuk mengubah rentak," katanya.
Berpandukan statistik lepas, Chong Wei mempunyai kelebihan 6:4 dan kali terakhir mengalahkan pemain China itu pada Terbuka Malaysia 2012 Januari lepas
dalam rubber-set 21-18, 17-21, 21-13.
Jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata Chen Long dijangka menampilkan permainan rali dan Chong Wei perlu menggunakan ketangkasan untuk
mematahkan rentak lawan.
"Chen Long telah mengubah gerakan taktikal dari pantas dan serang kepada pukulan jauh dan di situ Chong Wei perlu berjaga-jaga kerana lawannya itu hanya
menunggu masa untuk mematikan pukulan," katanya. - Bernama