ARTIKEL SEBELUM

21/07/12

Umno terbukti diresapi komunis - Mahfuz

















KUALA LUMPUR: Umnolah yang terbukti diresapi komunis malah pernah menjadi pemimpin parti itu, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Malah yang meyakinkan rakyat bahawa Umno diresapi komunis ialah Umno sendiri dan sebab itulah saya percaya masih ada saki baki komunis di dalam Umno hasil perkaderan pemimpin-pemimpin Umno berkenaan," kata beliau ketika menolak tuduhan dalam laporan Bernama kononnya pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan komunis cuba meresapi Pakatan Rakyat.

Agensi berita tersebut melaporkan kononnya risikan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa terdapat pengganas JI dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti politik pembangkang selain cuba menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin berkata Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi PAS selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

Mahfuz mengecam dakwaan tanpa bukti itu sambil mengingatkan polis supaya jangan cuba mengalihkan isu sebenar sekarang tentang kegagalan polis mengatasi jenayah.

"Rakyat berada dalam ketakutan malah bank-bank pun mahu mengalihkan mesin ATM mereka dari tempat-tempat awam seperti stesen minyak kerana peningkatan jenayah yang tinggi.

"Tiba-tiba polis buat cerita kononnya kadar jenayah turun, jangankan orang lain, bekas Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) pun tak percaya," katanya sambil menyifatkan dakwaan terbaru polis terhadap Pakatan Rakyat itu sama tarafnya dengan dakwaan polis kononnya kadar jenayah telah turun.

Dakwaan tanpa bukti itu, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, bukan sahaja tidak dipercayai, malah menjadi bahan persendaan rakyat.

"Saya harap pihak polis ada kakitangan untuk membaca ruangan-ruangan komen dalam portal-portal berita juga komen-komen dalam laman-laman sosial di mana rakyat mempersendakan dakwaan itu.

"Rakyat yang tidak menjadi aktivis politik pun tahu bahawa dakwaan kononnya beberapa elemen JI cuba meresapi PAS bertujuan menakut-nakutkan pengundi Cina kepada PAS dan dakwaan kononnya elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP bertujuan menakut-nakutkan pengundi Melayu kepada parti itu," katanya.

Reaksi rakyat itu, kata Mahfuz, menunjukkan mereka sudah tahu muslihat di sebalik tuduhan itu.

"Belum sempat Umno dan polis nak panjang-panjangkan cerita serta nak buat gempar, komen-komen rakyat itu membuktikan hanya orang tidak berakal dan tidak siuman sahaja yang akan mengutip cerita fiksyen seperti itu.

"Kalau dipanjangkan lagi cerita itu kononnya ada bukti dan entah apa dakwaan lain lagi, saya yakin cerita itu akan menjadi bahan tertawaan lebih ramai rakyat lagi sehingga semakin menjatuhkan imej polis," katanya.

Mahfuz juga menyifatkan apa yang berlaku itu membuktikan Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin terdesak untuk mendapatkan undi.

"Apa yang berlaku itu juga menunjukkan Umno tidak ada keberanian lagi untuk berhadapan dengan rakyat sehingga terpaksa memerintahkan polis mencipta dakwaan yang akhirnya menjadi bahan tertawaan rakyat," katanya lagi.

Beliau juga yakin dakwaan-dakwaan seperti itu akan menyebabkan semakin ramai rakyat akan menghukum Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud