DUNGUN – Hari kedua sambutan Ramadan menjadi ujian getir buat lebih 20 peniaga yang mencari rezeki di bazar Ramadan dekat sini, apabila mereka nyaris menjadi korban selepas khemah yang menempatkan tapak gerai diterbangkan angin dalam kejadian ribut, kira-kira jam 2 petang kelmarin.
Kejadian luar dugaan yang berlaku dalam sekelip mata itu bukan sahaja menyebabkan peralatan dapur rosak malah menyebabkan dua peniaga turut cedera terkena serpihan besi khemah berkenaan.
Difahamkan ketika kejadian, peniaga sedang membuat persiapan bagi memulakan perniagaan di tapak bazar Ramadan yang menjadi salah satu lokasi tumpuan penduduk setempat di daerah ini setiap kali tibanya bulan mulia untuk mencari juadah berbuka.
Kepala cedera terkena tiang
Dalam usaha sekumpulan peniaga itu menyelamatkan diri, seorang peniaga ayam goreng, Zulfahmi Ariffin, 27, terpaksa menerima beberapa jahitan di kepala akibat terkena tiang khemah yang terbang.
Zulfahmi yang ditemui berkata, ketika kejadian, dia bersama beberapa pekerja lain sedang menyusun peralatan dapur.
“Apabila melihat khemah saya terangkat, saya cuba berpaut sekuat tenaga pada tiang untuk mengelakkannya terbalik.
“Namun tenaga saya ternyata tidak mampu menghalang angin kuat itu daripada terus menerbangkan khemah saya,” katanya.
Zulfahmi berkata, sebaik angin berhenti, tiba-tiba kepalanya terasa pedih sebelum melihat darah mengalir keluar.
Dia cuba menekup luka di kepala itu dengan tangan namun darah terus mengalir sebelum seorang rakannya menghulurkan sehelai kain.
“Walaupun saya mengalami kerugian kerana banyak peralatan rosak termasuk van, namun saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu," katanya.
Sembunyi bawah meja selamatkan diri
Sementara itu, seorang lagi peniaga ayam tempayan, Ahlina Abdullah, 30, yang cedera ringan di lengan kanan berkata, ketika kejadian dia bersama empat lagi pekerja berada di bawah khemah sedang melakukan persiapan untuk memulakan perniagan.
Ahlina yang berasal dari Kampung Che Lijah berkata, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan dia tidak sempat melarikan diri.
“Ketika kejadian, saya baru sampai dan kejadian berlaku dalam sekelip mata sahaja, saya rasa macam nak terbang, jadi saya cepat-cepat pegang tiang,
“Tapi tiang tu bergerak juga dan saya terpaksa lepaskan kerana angin terlalu kuat. Akibat terlalu takut, saya menyorok bawah meja dan apabila angin berhenti saya lihat semua khemah sudah ranap,” kata Ahlina yang buat pertama kali berniaga di bazar berkenaan.
Beberapa peralatan milik peniaga seperti tempayan, dapur serta meja turut mengalami kerosakan teruk dihempap khemah menyebabkan sebahagian daripada mereka tidak dapat meneruskan perniagaan yang sepatutnya bermula jam 3 petang.
Pusaran angin terbangkan khemah
Dalam pada itu, Gustina Mohd Ali, 40, berkata, dia melihat pusaran angin menuju ke tapak gerainya.
“Sebaik tiba, saya lihat pusaran angin menuju ke sini, seketika kemudian khemah bergoyang, tanpa berlengah saya terus berlari menyelamatkan diri selepas melihat khemah mulai terbang,” katanya yang bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.
Menurutnya, dia yang mula berniaga di tapak bazar itu dua hari lalu baru tiba untuk melakukan persiapan bagi memulakan perniagaan.
Bagaimanapun, sebelum sempat berkemas di gerainya, Gustina tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran pusaran angin berwarna gelap yang secara tiba-tiba melalui lokasi berkenaan sebelum menerbangkan beberapa khemah milik peniaga.
Gustina berkata, dia mulai panik apabila melihat khemah serta peralatan dapur berterbangan seperti dalam filem aksi.
Katanya, detik hitam itu merupakan kali pertama dihadapinya dan ia benar-benar membuatkan dia rasa trauma selepas melalui situasi menakutkan itu.
“Bila lihat situasi itu, saya terus melarikan diri ke kawasan lebih selamat.
“Saya tahu, kalau saya terus berada di sini, mungkin saya turut menjadi mangsa,” katanya.
Gustina turut mengalami kerugian apabila beberapa peralatan dapurnya rosak teruk selepas dihempap khemah yang diterbangkan angin dalam kejadian angin kencang itu.
Jumlah kerugian lebih RM 2,000
Dalam kejadian itu, Sinar Harian difahamkan jumlah kerugian yang dialami peniaga berkenaan lebih RM2,000.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Keppamim menghulurkan bantuan segera dengan membaiki beberapa khemah yang rosak bagi membolehkan peniaga dapat meneruskan operasi seperti dijadualkan.
Pihak Keppamim juga akan bermesyuarat Khamis ini untuk menimbangkan bantuan sesuai yang mungkin boleh disalurkan kepada mangsa terlibat - Sinar Harian