SUBANG JAYA – Hasrat sekumpulan penyamun bergaya lebih lama menggunakan kereta dicuri awal bulan lalu punah apabila ketiga-tiga mereka berjaya ditahan anggota polis berhampiran Plaza Tol Sunway, lewat malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, ketiga-tiga suspek menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic melalui sebuah stesen minyak di Bandar Kinrara sebelum tindak-tanduk mereka dicurigai anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang yang melakukan rondaan cegah jenayah.
Anggota kemudian membuat semakan nombor pendaftaran dan mendapati jenis kereta dinaiki suspek sepadan, namun warna didaftarkan berlainan menyebabkan mereka mengesyaki ia adalah kereta curi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kedua-dua anggota menaiki kereta Proton Wira mengekori suspek sejauh dua kilometer dan dalam masa sama mendapatkan bantuan polis peronda.
“Suspek yang terkejut melihat kehadiran kereta polis peronda di kaunter tol bertindak melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berada di depan. Disebabkan gagal meloloskan kenderaan ke depan, suspek mengundurkan kereta dan melanggar Proton Wira dipandu anggota polis dengan kuat.
“Melihat anggota polis mengepungnya, suspek kemudian cuba melanggar anggota menyebabkan tiga das tembakan terpaksa dilepaskan,” katanya dua mengenai cermin depan, manakala satu lagi di sebelah pintu kereta dipandu suspek. Yahaya berkata, tembakan terkena bahagian bahu pemandu berusia 24 tahun serta pinggang penumpang berusia 19 tahun di kerusi depan.
Katanya, kedua-duanya mendapatkan rawatan di Hospital Serdang dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Menurutnya, semakan mendapati pemandu mempunyai tiga rekod jenayah samun dan mendatangkan kecederaan sebelum ini.
“Seorang lagi suspek duduk di tempat penumpang belakang berusia 16 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.Katanya, kereta dinaiki suspek dilaporkan dicuri pada 4 Jun lalu di Kelana Jaya.