ARTIKEL SEBELUM

22/07/12

Penulis blog parti tuntut bayaran gaji RM24,370

Seorang penulis blog untuk satu parti politik mendakwa majikannya itu masih belum membayar gaji sebanyak RM24,370 yang tertunggak sejak 2008 atas pelbagai sebab.


Sinar Harian melaporkan hari ini bahawa Ahmad Faisal Mohd Yunos, 44, mengadu kepada akhbar itu di Ayer Keroh, Melaka berhubung masalah tersebut.



Ahmad Faisal berkata beliau dilantik sebagai pegawai khas dan ketua unit IT di pejabat parti politik tersebut, dan beliau ditugaskan untuk menulis blog untuk parti yang tidak dinamakan dalam laporan berkenaan.



Keatanya, beliau menerima surat lantikan pada 13 Mei 2008 yang menyatakan gaji bulanannya sebanyak RM3,000.



Bagaimanapun, parti tersebut membayar kurang RM1,000 kepadanya setiap bulan, yang berjumlah RM38,000 untuk tempoh 38 bulan.



Gajinya kemudiannya ditahan sejak Mei 2011, selepas pengurusan pejabat tersebut bertukar kakitangan sejak awal tahun lalu, dakwanya seperti dipetik akhbar berkenaan.



Dua bulan kemudian, beliau diberikan surat pemberhentian kerja pada Julai, yang diterimanya dengan syarat jumlah tertunggak itu dilunaskan, dakwanya.



Menurut Ahmad Faisal, parti politik tersebut membayar sebanyak RM11,330 pada 20 Disember tahun lalu, selepas ditolak sebanyak RM2,300 yang dipinjamnya.



Namun, sejumlah RM24,370 lagi masih belum dibayar kepadanya, dakwanya.



Dakwanya, majikannya itu memberi alasan bahawa jumlah berkenaan ditolak daripada kos peralatan yang diberikan kepadanya ketika beliau berkhidmat sebagai kakitangan.



Dakwanya, peralatan itu melibatkan tiga komputer riba, sebuah kamera kompak dan beberapa barangan lain.



Tambahnya, beliau bersedia untuk memulangkan peralatan tersebut jika gajinya dibayar sepenuhnya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud