ARTIKEL SEBELUM

3/07/12

Pas sedia bantu Umno

SHAH ALAM - Pas sedia bantu Umno jika parti itu bersungguh-sungguh mahu melaksanakan hudud.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Harun Taib berkata, jika Umno bersungguh- sungguh, tidak timbul masalah di pihak Pas kerana parti itu hanya mahu melihat perintah ALLAH ditegakkan.

"Sudah cadang, kenalah bersungguh-sungguh, jangan hanya cakap kosong. Kalau mereka bersungguh-sungguh, kita pun akan bantu," katanya ketika diminta mengulas cadangan seorang wakil rakyat Umno Johor yang mahu negeri itu jadi negeri pertama di negara ini melaksanakan undang-undang hudud.

Cadangan itu disuarakan Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat pada sidang Dun Johor 20 Jun lalu.

Ayub berkata, undang- undang hudud yang digubal oleh Pas dan diluluskan Dun Kelantan dan Terengganu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak menggambarkan hukum Islam yang sebenar apabila ia hanya melibatkan umat Islam sedangkan hudud yang sebenar meliputi semua anggota masyarakat.

Mengenai perkara itu, Harun meminta supaya tidak lagi ditimbulkan isu hudud Umno dan hudud Pas kerana hudud adalah hukum ALLAH.

"Ia (hudud) satu saja. Hentikan gelaran seperti itu kerana ia sama sekali tidak wujud. Jika Umno perlukan bantuan, Pas sedia hulur tangan untuk kepentingan Islam, saya berharap ia akan jadi kenyataan," katanya.

Harun berkata, proses untuk menjalankan hudud sama seperti undang-undang sivil yang memerlukan siasatan, mahkamah dan sebagainya sebelum satu-satu hukuman dijatuhkan.

"Jadi, tidak timbul masalah untuk Umno merealisasikan cadangan ini.

Menjadikan Johor sebagai negeri percubaan adalah langkah terbaik kerana ia dapat memperbaiki setiap kelemahan yang berlaku sebelum diselaraskan di negeri-negeri lain," katanya.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyambut baik cadangan pelaksanaan hudud dan menjadikan Johor sebagai negeri pertama.- SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud