ARTIKEL SEBELUM

31/07/12

Lajim: ‘Saya tidak mahu komen apa-apa’

KOTA KINABALU - Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Lajim Ukin enggan mengulas buat masa ini isu berkaitan pembatalan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang berkuatkuasa serta-merta.

"Saya belum komen apa-apa dahulu... nanti pada masa yang sesuai saya akan buat kenyataan," katanya dalam kenyataan ringkas di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan terhadap pembatalan pelantikan itu.

Ini mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan bersama Fasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Lajim pada Sabtu lepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

Lajim bagaimanapun berkata beliau masih kekal sebagai anggota Umno. Sementara itu, setiausaha Barisan Nasional Negeri Datuk Abdul Rahman Dahlan, dalam reaksi segera berikutan pembatalan pelantikan Lajim itu berkata, tiba masanya satu tindakan diambil terhadap Lajim.

"Apa yang diputuskan oleh Agong adalah betul. Sesuatu perlu dibuat. Sekarang Perdana Menteri perlu meneliti senario keseluruhan, sama ada hendak membiarkan jawatan itu dikosongkan atau mengisinya," katanya.

Abdul Rahman, yang juga anggota Parlimen Kota Belud, berkata tindakan seterusnya ialah untuk "memecat Lajim daripada Umno". Katanya, Lajim tidak sepatutnya menentang parti tetapi kekal sebagai ahli.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun pula berkata, keputusan Najib itu merupakan prerogatifnya sebagai Perdana Menteri untuk melantik atau membatalkan jawatan seseorang dalam Kabinetnya. - Bernama

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud