ARTIKEL SEBELUM

20/07/12

Krisis air Selangor di musim hujan?

Dengan musim hujan mutakhir ini, sukar bagi kerajaan Pusat untuk meyakinkan rakyat bahawa negeri Selangor akan bakal berdepan dengan krisis bekalan air. Cukup ironis, namun itulah sajian media BN saban hari kepada rakyat.

Memang benar. Yang dibicara bukannya air mentah atau air dipermukaan bumi yang dianugerahkan Allah melimpah ruah dalam bentuk hujan. Simpanan lebih besar lagi dari 7 empangan Selangor adalah air bawah tanah (ground water) yang jauh lebih lumayan yang juga belum dimanafaatkan.

Mengapa kerajaan Pusat menganggu dan mencabar kedamaian hidup pengguna dan rakyat di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dengan isu ini? Mengapa mereka mahu cetus rasa takut, gundah-gulana serta keluh kesah rakyat? Mengapa mereka berhajat bagi menerbitkan rasa krisis di negeri di bawah Pakatan Rakyat ini?

Sekali lagi AIR cuba dijadi modal politik dan isu untuk menjatuhkan kredibiliti dan wibawa kepimpinan Pakatan Rakyat di bawah menteri besarnya. Berdepan dengan pelbagai kebejatan urus-tadbir yang serba dipertikaikan, khasnya pendedahan pelbagai kes rasuah dan salahguna kuasa elit pemerintah, kerajaan BN sememang mahu mengalehkan pandangan rakyat.

Apakah pemimin Umno-BN terlupa bahawa air dan penswastaannya di seluruh negara, khasnya di Selangor, adalah ‘jenayah’ dan ‘dosa’ yang belum lagi mereka tebus dan bertaubat? Ceritanya terlalu panjang untuk diziarahi kembali.

Tegasnya, umum sedar bahawa penswastaan air yang dilakukan dalam zaman Tun Mahathir gagal. Seperti mana gagalnya kebanyakan penswastaan utiliti dan perkhidmatan awam yang dulunya dikendali oleh kerajaan, kegagalan penswastaan air, cuba dirungkaikan ‘selamatkan’ dengan satu dasar bernama “Penstrukturan Semula Industri Air”. Terlalu banyak yang diselamatkan atau ‘bailout’.

Setelah hampir enam tahun selepas penubuhan Suruhanjaya Perkihdmatan Air Negara (SPAN, 2006) dan Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA, 2006) diperkenalkan bersama dengan pengenalan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB, 2006) bagi melaksanakan matlamat ‘penstrukturan’ dan ‘migrasi’ dari ‘regim konsesi’ ke ‘regim pajakan’, kerajaan Persekutuan masih gagal untuk menyempurnakan dasar ini untuk negeri Selangor. Mengapa?

Negeri-negeri lain termasuk negeri Pakatan seperti Pulau Pinang dan Kedah turut berjaya dilakukan ‘migrasi’ dan pemindahan asset-aset negeri kepada PAAB dan berakhir dengan Kementerian Pusat memberi hak pajakan bagi ‘merawat dan mengurus pengedaran’ air samada kepada kerajaan negeri atau pihak swasta. Contohnya, Johor pihak swasta yang dapat. Melaka dan Negeri Sembilan diberikan kepada kerajaan negeri.

Isunya ialah mengapa dalam kes negeri Selangor, kerajaan Persekutuan mengambil sikap yang berbeza? Mengapa kerajaan Persekutuan tidak mahu membuat keputusan untuk memberikan lesen pajakan kepada salah satu entiti ini: Kerajaan Negeri atau Pihak Swasta?

Nah, inilah isu besarnya yang kerajaan Pusat cuba mengelak untuk buat keputusan! Ia sekaligus membayangkan kedudukan serba–salah kerajaan Pusat dan khasnya Menteri KTTHA itu. Tidak sukar untuk membuat telahan mengapa sedemikian jadinya. Nak bagi kat swasta akan dituduh memberi kepada kroni yang telah jelas gagal, antara lainya; mengurangkan NRW atau “Air Tak Berfaedah” hasil kebocoran paip dan sebagainya serta juga gagal memenuhi beberapa terma konsesi tentang perolehan atau ‘procurement’.

Untuk diberikan kepada kerajaan negeri pula, jelas bertentangan dengan kepentingan membela kroni yang sememang hidup dengan ‘pemberian kontrak dan konsesi’ seperti ini.

Umum juga tahu bahawa sudah hampir 4 tahun kerajaan negeri mengemukakan pelbagai cadangan yang terbaik bagi menangani kemelut air di Selangor akibat air penswastaan air yang ‘menswastakan sektor yang untung’ yakni ‘rawatan air’ dan ‘merakyatkan’ sektor yang rugi yakni ‘pengedaran’.

Umum masih ingat tabiat ‘kecurangan dan pengkhianatan’ ini yang menyaksikan bagaimana Jabatan Bekalan Air Selangor (JBAS) pertama-tama diswasta aspek rawatan kepada Puncak Niaga, Abbas dan Splash. Sementara itu ‘aspek pengedaran’ yang ‘tak menguntungkan’ dikekalkan dengan JBAS yang kemudian dikorporatkan menjadi Perkhidmatan Uruan Air Selangor (PUAS) dan akhirnya juga diswastakan menjadi SYABAS (2005).

Syabas dalam pada itu menanggung kerugian sebanyak hampir RM1 bilion atas kos pembanguan (Capex dan juga Opex) sementara pihak pemilik konsesi mengaut keuntungan tetapi masih juga memerlukan hutang bagi kegiatan kos pembangunan atau Capex mereka.

Cerita untung dan rugi dan banyak mana dividen yang telah diagihkan serta hutang yang ditanggung oleh pemilik konsesi air Selangor ini, sarat di bawa dalam media, hal tentang gaji pengerusi, pengarah-penagarah dan kemewahan pejabat dan kereta dan sebagainya. Berita tentang dakwa-dakwi mahkamah satu yang cukup lumrah. Majalah ‘The Edge’ yang terkemuka itu sahaja telah banyak menjadikan isu ‘Air Selangor’ ‘lead story’ mereka beberapa kali. Jenuh dan bosan rakyat membacanya.

Bagi menggemparkan rakyat dan pengguna terkini, Syabas dan sekutu-sekutu NGOnya mendedahkan bahawa keperluan terkini rakyat Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur sudah meningkat ke paras 4329 MLD (juta liter sehari) sementara keupayaan kesemua pihak konsesi rawatan air hanya mampu membekalkan maksimum sebanyak 4371 MLD termasuk, kononnya, loji di empangan Sungai Labu yang baru.

Ini macam pendekatan “Shock Doctrine’ buku karangan Naomi Klien bagi mengejutkan lawan dan seteru politik. Cumanya, Menteri Besar Selangor ini bukan calang-calang lawan yang boleh dijatuhkan begitu sahaja. Bukankah beliau yang merancang strategi menggunakan ‘shock doctrine’ melalukan ‘morning raid’ di Bursa ‘London Stock Exchange’ bagi mendapatkan 51% saham untuk PNB ke atas syarikat gergasi British Kumpulan Guthrie dalam tahun 1981?

Lalu belum sempat kejutan tentang krisis air itu dapat dirasakan oleh rakyat Selangor, MB ini telah menghendap balas dengan ‘pengistiharan mengambilan pengurusan Syabas’. Mengikut perjanjian konsesi penswataan air, kerajaan negeri melalui peruntukan klausa 32, berhak mengambil balik pengurusan pengedaran air sekiranya pihak konsesi gagal memenuhi dan komplian kepada terma-terma perjanjian.

Persoalan samada kerajaan negeri mampu mengambil alih secara teknikal pengurusan pengedaran air yang selama hari ini dikendalikan oleh Syabas menjadi isu kedua. Ramai kakitanagn Syabas dengarnya bersedia berkhidmat dengan kerajaan negeri. Pokoknya, kerajaan negeri punya kuasa yang termeterai dalam peruntukan perjanjian konsesi.

Nah, masakan tak gelabah pihak Syabas. Hampir nak terkencing pengerusinya agaknya. Penulisan ringkas ini tidak berupaya menyenaraikan pelbagai aspek polemik dan pertikaian isu air ini. Ini bukan pentas dan forumnya. Cumanya nak dikatakan bahawa pihak kerajaan Umno-BN tersasar dalam membuat congakan dan percaturannya meleset.

Kini kerajaan negeri mencabar Syabas bahawa mereka akan menghantar satu kumpulan profesional untuk meneliti operasi harian Syarikat Bekalan Air Selangor itu, bagi mengenalpasti keadaan semasa air terawat di negeri ini.

Putar-belit isu Langat 2 dalam menggarap isu ‘krisis kerkurangan air’ di Selangor ini, lebih menampakkan kebobrokan dan pengkhianatan Umno-BN kepad rakyat. Projek yang menelan RM8.65 bilion seluruhnya itu, pada asasnya adalah untuk menangani bekalan air mentah (dan juga rawatan kemudiannya), sebagai projek perpindahan antara negeri yakni bekalan dari Pahang. Isu di sini bukan bekalan air mentah! Kenapa nak belanja sampai RM8 bilion?!

Tentunya lebih banyak tandatanya dan persoalan yang menerjah pemikiran rakyat. Bingung rakyat. Kenapa kerajaan Persekutuan mahu menambah statistik hutang yang sudah mencecah RM456.3 bilion itu? Lebih penting lagi, apakah itu prioritinya?

Paling memalukan terkini adalah penubuhan sebuah jawatankuasa Kabinet bagi menangani ‘krisis air’ ini. Lebih ‘aib lagi adalah keanggotaannya! Sudahlah TPM yang mempengerusikannya, anggota macam Menteri Pertanian itu takpayahlah. Menteri Wilayah itu menasabah juga sebab menyangkut kepentingan rakyatnya. Tetapi Menteri Senator di JPM itu buat apa dimasukkan juga kerana kalaulah untuk ‘power’ penyampaian power-pointnya itu, boleh di koop kemudian sahaja.

Umum terus bertanya perwakilan kerajaan negeri Selangor dan pakar-akar air dari pihak NGO yang bi-partisan dan juga pihak profesional kenapa tak ada?

Kesilapan-kesilapan maha besar kerajaan Umno-BN dihujung-hujung parlimen ke-12 ini semakin terdedah dan terserlah. Apakah begitu nasibnya di saat nazak pemerintahan ini, yang telah terlalu lama berkuasa – lebih  5 dekad!. Cukuplah!

----------------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud