DANNY Welbeck muncul wira England selepas berjaya bangkit untuk menewaskan Sweden 3-2 dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Olimpik, Kiev awal pagi ini (waktu Malaysia).
England yang dikritik hebat berikutan persembahan buruk menentang Perancis di mana mereka seri 1-1 pada perlawanan pembukaan Kumpulan D awal minggu ini telah berjaya membuktikan keupayaan mereka menerusi kemenangan ini.
Babak awal permainan, kedua-dua pasukan dilihat bermain dengan berhati-hati dan melancarkan beberapa serangan, namun berjaya dikekang benteng pasukan masing-masing.
England yang turun dengan berjersi biru membuka tirai jaringan melalui tandukan penyerang sensasi Liverpool, Andy Carroll pada minit ke-23 menewaskan penjaga gol, Andreas Isaksson dan mengembirakan para penyokong ''The Three Lions.''
England mendominasi babak pertama dan keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Sweden memburu gol penyamaan dan hasilnya melalui pertahanan, Olof Melberg berpunca daripada situasi kelam-kabut dalam kotak penalti England selepas sepakan percuma Ibrahimovic pada minit ke-49.
Sekali lagi pertahanan veteran itu menambah sengsara England selepas menjaringkan gol kedua menerusi tandukan menewaskan Joe Hart pada minit ke-59.
Selang tiga minit kemudian, pemain Arsenal yang baru dibawa masuk, Theo Walcott melepaskan rembatan kencang di luar kotak penalti Sweden sekali gus mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-63 sambil Isaksson hanya sekadar memerhatikan bola menerjah gawang. Beliau masuk menggantikan James Milner.
Dalam perlawanan yang mendebarkan ini, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari gol ketiga.
England berjaya menghukum Sweden menerusi Welbeck selepas menerima hantaran dari Walcott pada minit ke-78.
Bagi penyerang berbisa, Wayne Rooney tentunya tidak sabar untuk beraksi buat kali pertama menentang Ukraine minggu depan selepas digantung dua perlawanan sebelum ini.
Ketika ini, kedudukan Kumpulan C masih terbuka dan sengit di mana England dan Perancis mengumpul empat mata, Ukraine dengan tiga mata dan Sweden ditangga tercorot, masih belum mengumpul mata bagi merebut slot ke suku akhir.
Kali terakhir The Three Lions menang dengan Sweden ialah pada perlawanan persahabatan November lalu. Ia adalah kemenangan pertama mereka dalam tempoh 43 tahun. England menang 1-0 menerusi jaringan Gareth Barry di Wembley.