(Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 29 Jun: Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf mencabar kerajaan Umno menurunkan kadar kompaun maksimun kesalahan trafik jika gagal mengurangkan kadar kemalangan dalam tempoh enam bulan.
Beliau bimbang kerajaan sekadar mengambil kesempatan terhadap pesalah lalu lintas dengan mengenakan kompaun terlalu tinggi.
“Saya cabar laksanakan enam bulan dahulu. Kalau kemalangan masih tidak turun, bolehkah kerajaan turunkan semula kadar kompaun itu?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam soalan tambahan perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012, semalam yang dibentang Kementerian Pengangkutan pada bacaan kali kedua.
Pindaan itu menetapkan denda minimum RM300 dan menaikkan kadar
maksimum RM2,000 kepada mana-mana pemandu atau pejalan kaki yang ingkar arahan dan isyarat lalu lintas yang diberi anggota polis berseragam.
Perbahasan menaikkan kadar berkenaan dibawa Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.
Bagaimanapun, Yusmadi tidak menolak pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu jika niat kerajaan ikhlas mahu mengurangkan kadar kemalangan.
Tetapi, katanya, saman bukan jalan terbaik mendidik rakyat sebaliknya kurikulum latihan memandu perlu dinaik taraf bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.