SHAH ALAM - Penasihat DAP, Lim Kit Siang bertanya sama ada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan sekali lagi berhadapan dengan amnesia jika dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah.
"Adakah Mahathir akan mengalami serangan amnesia jika beliau muncul di hadapan RCI Sabah?" kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Dengan nada menyindir, Kit Siang berkata, Dr Mahathir yang terkenal dengan 'masalah memori' ketika inkuiri suruhanjaya siasatan video Datuk V.K.K Lingam empat tahun lalu telah beberapa kali mengatakan bahawa 'saya tidak ingat.'
Kit Siang mengulas kenyataan Dr Mahathir yang dibuat semalam.
Ahli Parlimen itu berkata, tidak diragui bahawa individu yang mempunyai maklumat yang terbanyak berkenaan isu pendatang asing, yang menjadi pertikaian sejak kebelakangan ini ialah Dr Mahathir.
"Khususnya 'Projek Kad Pengenalan' yang diketahui ramai," katanya lagi.
"Adakah Mahathir boleh memberikan jaminan bahawa beliau tidak berhadapan dengan satu lagi amnesia apabila disoal siasat oleh RCI di Sabah sebagaimana berlaku ketika Suruhanjaya Diraja Rakaman Video Lingam pada 2008?" katanya.
Dalam kenyataanna, Dr Mahathir juga berkata beliau tidak gentar dengan dakwaan Kit Siang untuk mendedahkan apa yang dikatakan skandal kewangan sepanjang 22 tahun pemerintahannya.- sinar harian
Dr Mahathir berkata, Kit Siang boleh berbuat apa sahaja sekarang juga untuk membuktikan berlakunya skandal kewangan sepanjang pemerintahan beliau.