KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut selepas tertembak diri sendiri menggunakan pistol yang disangka mainan di Jalan Melor, Ketereh di sini kira-kira jam 9 malam tadi.
Sementara bapa saudaranya berumur 31 tahun yang kebetulan berada di belakang mangsa cedera di bahagian bahu dan berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kejadian tersebut berlaku apabila mangsa, Mohd Faris Faisal Hisham menjumpai pistol jenis Walter, yang disimpan oleh bapa saudaranya iaitu seorang anggota polis di bawah meja.
"Mangsa yang menyangkakan ia adalah pistol mainan telah melepaskan tembakan dan salah sebutir peluru menembusi dahinya. Mohd Faris meninggal dunia sebaik sahaja dibawa ke Klinik Ketereh yang terletak berhampiran tempat kejadian," katanya kepada pemberita pada satu sidang media di sini, hari ini.- sinar