PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak dengan kos rayuan Adun Kubu Gajah, Datuk Raja Ahmad Zainudin terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu berhubung kes saman fitnah.
Pada 30 Oktober tahun lepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan tuntutan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) ke atas Raja Ahmad Zainudin berhubung fitnah disiarkan Mingguan Watan.
Dalam artikel disiarkan akhbar itu pada 21-27 Disember 2008 pemimpin Umno terbabit yang bertindak sebagai Penasihat Sidang Editor memfitnah PKINK dengan menerbit berita bertajuk “Siasat pemimpin-pemimpin PAS Kelantan seleweng ekuiti PKINK”.
Raja Ahmad Zainudin disaman atas kapasitinya sebagai anggota Sidang Editor, beliau juga salah seorang kolumnis akhbar tersebut.
Ekoran itu pemimpin terbabit memfailkan rayuan ke atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Rayuannya didengar di hadapan tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Low Hop Beng, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datin Paduka Zaleha Zahari.
Dalam keputusan ringkas yang dibacakan Hakim Low, mahkamah memutuskan ketiga-tiga panel hakim sebulat suara bersetuju menolak rayuan Raja Ahmad Zainudin.
Alasannya Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul berdasarkan fakta dan keterangan kes tersebut.
Mahkamah juga bersetuju hujah peguamcara PKINK terdapat keterangan sidang editor akhbar tersebut enggan meminta maaf kerana berpendirian artikel yang memfitnah PKINK tersebut benar dan tepat.
Peguam PKINK, Hisham Fauzi, Mohamed Hanipa Maidin dan Rosilawati Zakaria berhujah kewujudan perkataan sidang editor enggan meminta maaf menunjukkan keputusan sidang editor dibuat secara kolektif.
Mahkamah juga mengarahkan Raja Ahmad Zainudin membayar kos rayuan sebanyak RM10,000 kepada PKINK.
Raja Ahmad Zainudin diwakili peguam Dato’ Hafarizam Harun, Badrul Hishah dan Hasnal.