Oleh Martin Kahar)
PETALING JAYA 25 Mei: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mencabar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan dua lagi pimpinan Umno bertanggungjawab terhadap tindakan samseng Pemuda Umno.
Gesaan itu juga ditujukan kepada Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Mengecam tindakan itu, Izzah berkata, tindakan Umno yang berceramah dalam kuaters Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang hanya berjarak 100 meter jelas menunjukkan mereka berniat jahat.
“Saya menyeru Raja Nong Chik, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab dan sama-sama mengecam tindakan samseng ini.
“Sekiranya tidak, Umno telah melampaui batas dan melangkah garis di mana tindakan kekerasan ini sebagai deklarasi ‘perang’ terhadap rakyat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Malam tadi, ketika Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berceramah, samseng Umno mensabotaj dengan memotong kabel menyebabkan bekalan elektrik terputus.
Dalam keadaan gelap, samseng itu melempar batu, telur dan botol ke arah hadirin.
Tindakan biadap itu menyebabkan seorang warga emas parah di kepala dan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun patah tangan kiri.
Samseng berkenaan turut memancit dan menoreh tayar kereta Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Izzah yang menyifatkan insiden itu ‘Malam Berdarah Lembah Pantai’ berkata, polis perlu bertindak tegas terhadap samseng terbabit supaya kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Kami juga menggesa polis menyiasat bagaimana kuaters DBKL tersebut boleh digunakan Umno sebagai tempat ceramah.
“Adakah ia merupakan Standard of Procedur (SOP) yang sesuai dalam konteks masa kini,” katanya.