Subky Latif
Keriuhan teka-teki tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 kembali bergema. Kali ini, ramai bersetuju bahawa ia hampir pasti diadakan sebelum Ramadan; lebih tepat 9 Jun ini, iaitu penghujung cuti sekolah. Namun, ada pihak melihat tarikh itu tidak sesuai, terutama faktor hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong, yang akan dirayakan pada 2 Jun.
Apa pun, cuti sekolah tidak semestinya menjadi ketetapan untuk mengadakan pilihan raya. Puasa dijangka bermula 21 Julai. Maka, boleh saja Parlimen dibubarkan, sebelum bulan penuh keberkatan itu, selewat-lewatnya pertengahan Jun.
Walaupun ada desakan kuat dan menyeluruh agar tempoh kempen minimum ditentukan 21 hari, tetapi seperti diketahui umum, yang dipersetujui Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) hanya 10 hari.
Dengan itu, jangka masa daripada hari Parlimen dibubarkan hingga tarikh mengundi, tidak akan melebihi sebulan. Gosip terkini: Bubar Parlimen, 14 Mei; penamaan calon, 26 Mei; dan mengundi, 9 Jun.
Jika mahu ditunda lagi melepasi Ramadan, tarikh alternatifnya sama ada sebaik saja Aidilfitri, tetapi sebelum penerbangan pertama haji (tempoh yang dilihat begitu singkat dan mengikat), ataupun selepas rombongan terakhir jemaah haji pulang ke tanahair, iaitu hujung November.
Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pernah mengadakan pilihan raya semasa musim haji dan dikritik hebat. Saya kira Najib tentu mahu mengelak sebarang insiden yang boleh mencalarkan imejnya lagi, terutama pada kaca mata masyarakat Melayu.
Sesungguhnya gerak-geri Perdana Menteri Najib Razak diperhatikan secara dekat dan cermat. Diari beliau diamati terutama jadualnya ke luar negara, termasuk menghadiri konvokesyen anaknya.
Pengumuman "durian runtuh" kepada peneroka Felda -- meskipun dipertikai daripada segi amaun, yang dilihat kecil (RM15,000) berbanding sepatutnya RM38,000 seperti kata Husam Musa -- dianggap membawa petanda pembubaran Parlimen semakin dekat.
Sebelum aroma bantuan one-off hilang serinya, Najib perlu mendapat mandat buat kali pertama daripada rakyat. Beliau cukup menyedari, dibantu informasi perisikan rasmi dan tidak rasmi, majoriti pengundi tidak sabar lagi menunggu kesempatan untuk melakukan perubahan menyeluruh.
Ramai menjangkakan, tidak mustahil Najib mencipta sejarah mengejutkan, malah mampu mengalahkan rekod Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, yang gagal melepasi penggal pertama pemerintahannya.
Najib bakal kecundang dalam pilihan raya pertama yang diterajuinya? Ya, cuba bayangkan situasi itu. Masakan Najib dan konco-konconya sekadar menunggu hukuman rakyat? Sudah pasti tidak.
Segala ikhtiar dan perancangan (lebih tepat, komplot) diusahakan bagi menyekat kemaraan Pakatan Rakyat. Jika komplot jahat dan licik itu didedahkan, misalnya melalui konspirasi SPR-JPN dalam memanipulasi senarai daftar pemilih, mereka bersikap pekak badak saja. Persetankan!
Meskipun Umno-BN kalah di Kelantan sejak sekian lama, dan pernah tewas di Sabah dan Terengganu, manakala empat tahun lalu lebih buruk lagi dilanda tsunami politik, iaitu kecundang di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang (selain Serambi Makkah), namun ia tetap berkuku di peringkat persekutuan, yang masih memungkinkan untuk terus menguasai sumber dan peluang ekonomi.
Kekalahan itu rupanya tidak pernah menginsafkan pemimpin, aktivis dan penggerak Umno. Mereka mungkin lebih kerap turun ke padang, menyantuni rakyat, mengambil berat keperitan orang ramai, dengan pelbagai slogan menarik, tetapi motif utamanya hanyalah untuk meraih kembali kuasa.
Lagak dan gaya kehidupan mewah pemimpin Umno di negeri-negeri yang mereka kalah ini masih tidak banyak berubah. Benar sekali, rasuah politik dan amalan koprupsi tidak dapat dicerai-tanggal daripada budaya Umno. Ubat mujarab adalah memberikan pengajaran bermakna dengan menyingkirkan Umno-BN dari Putrajaya.
Taliah hayat kini mungkin terputus satu saluran, tetapi jantung masih berdegup. Keghairahan untuk kembali merebut takhta tidak pernah pudar, malah mungkin semakin segar-bugar!
Ingat ucapan popular Najib, yang menggesa ahli-ahli Umno mempertahankan Putrajaya walaupun ke "titisan darah yang terakhir". Bagi saya, frasa itu ia bukan sekadar pembakar semangat, tetapi menyimpan motif tersirat yang menggerunkan.
"Sejak awal merdeka, khususnya di zaman Pemuda Tahan Lasak, gelagat Umno memang dikenali dengan tindakan provokasi yang melampau, terutama sewaktu kempen pilihan raya. Saya bimbang, ketika mereka di ambang kejatuhan, macam-macam perkara buruk boleh dicetuskan Umno," petikan emel yang saya terima daripada pembaca Harakah.
Beliau menambah, parti-parti dalam Pakatan Rakyat terbukti sabar dan reda ditimpa kekalahan. Tiada rusuhan dicatatkan, sebaliknya pemimpin dan ahli-ahlinya tabah melalui siri tribulasi yang memedihkan.
Zaman sudah berubah. Rakyat kian matang dan cerdik. Proses pendemokrasian dan fenomena langit terbuka, serta kemajuan ekonomi dan pertambahan kelas menengah telah mengubah lanskap politik Malaysia.
Umno yang gelisah berdepan kebangkitan rakyat, masih memainkan sentimen dan emosi perkauman (kadang-kadang bersalut agama yang dangkal). Ia akan terperangkap dengan jeratnya sendiri. Aksi ganas menganggu aktiviti Pakatan makin memburukkan lagi imej yang sedia jelik itu.
Umno akan mencuba seribu dalih, termasuk serangan psikologi dan juga fizikal, bagi menghalang peralihan kerajaan dalam PRU13 yang kritikal ini.
Ahli dan penggerak Pakatan tidak harus terjerumus dalam "permainan kotor" Umno itu. Rakyat sedang memerhati, menilai dan menghakimi. Tetap istiqamah dengan strategi dan pendekatan yang telah dirumuskan. Sampaikan maklumat secukupnya ke seluruh pelosok tanahair.
"Parti yang paling kurang melakukan kesilapan akan meraih kemenangan dalam PRU13." Peringatan itu saya kira cukup bermanfaat dalam situasi sekarang.