Dua pemimpin kanan PKR kesal dengan keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - mengisytiharkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersih daripada tuduhan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) manakala kes rasuah 17 tahun lalu Azmin Ali mahu dibuka semula.
"Kami berasa kesal dengan dua keputusan penting yang dibuat SPRM pada hari ini berhubung kes NFC dan penglibatan Shahrizat serta tuduhan terhadap Azmin Ali," kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, kedua-dua mereka berkata, sungguhpun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan Shahrizat dari tuduhan rasuah bersabit NFC, keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Azmin benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM.
"Rakyat boleh menilai tindakan tangkas SPRM berhubung tuduhan terhadap Azmin walaupun laporan dan siasatan Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) telah menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah ketika siasatan dibuat dalam tahun 1995.
"Berbeza pula dengan pelbagai dolak dalih yang diberikan SPRM dalam kes NFC dan Shahrizat walaupun NFC dan menteri bertanggungjawab membuat keterangan di Parlimen mengenai proses pemberian tender kepada sebuah syarikat milik keluarga beliau," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini._SH