Shaharul
Shafie
Pasti ramai yang membaca tajuk
artikel ini tertanya-tanya apakah penulis akan membawa arah penulisan beliau
dengan meramalkan bahawa parti pemerintah Barisan Nasional (BN) akan melabuhkan
tirainya selepas hampir 55 tahun berkuasa. Ada pembaca pasti mengandaikan
penulis ini berkemungkinan seorang penyokong ataupun seorang yang bersimpati
dengan pembangkang di Parlimen yang juga
kerajaan yang dipilih di beberapa negeri termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur. Ayuh, bacalah artikel saya untuk mengetahui kebenaran daripada tajuk
saya di atas.
Semua tertanya-tanya selepas
kejadian ‘pelbagai cerita’ di dalam perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara minggu lepas, adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih berkeyakinan
untuk meneruskan hasratnya membubarkan Parlimen pada tahun ini. Ramai
penganalisa meramalkan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) diadakan pada hujung
bulan Jun berdasarkan senario yang memberi kelebihan kepada parti pemerintah sebelum
penganjuran Bersih 3.0. Mungkin sekarang penganalisa-penganalisa ini akan
meletakkan ruang waktu baru di dalam ramalan mereka. Tetapi bagi saya, meskipun
sebelum berlakunya ‘tragedi’ Bersih 3.0, saya amat yakin bahawa PRU bakal
diadakan sebaik sahaja musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tetapi sebelum
banyak kapal terbang haji bertolak ke Tanah Suci.
Beberapa sebab menyokong andaian saya
sedemikian. Pertama ialah Najib memerlukan lebih masa untuk berkempen
menggunakan tiketnya sebagai PM meskipun banyak turun padang baru-baru ini dari
Perlis sehinggalah ke Sabah dan mengurangkan kegemarannya yang suka melawat
pemimpin negara asing selepas memegang jawatan PM. Malah, beliau akan mula
bercuti selama dua minggu bermula pertengahan bulan Mei ini di Amerika Syarikat
di samping menghadiri majlis konvokesyen puterinya di sana. Walaupun ramai
berkata Najib boleh membubarkan Parlimen pada hujung Mei, 30 hari di dalam
bulan Jun adalah tidak cukup bagi jentera BN tetapi tidak dinafikan tidak boleh
dilakukan.
Bagi saya, Najib melihat dua faktor
sebelum membubarkan Dewan Rakyat. Yang pertamanya ialah berjaya mengotakan
janji-janji beliau untuk memastikan transformasi dilakukan walaupun sekadar
proses-proses perundangan . Sekurang-kurangnya dengan membawa beberapa
akta-akta baru menggantikan akta-akta kolonial lama seperti ISA, Akta Darurat
dan AUKU agar diluluskan di Dewan Rakyat. Cakap-cakap mahu PRU13 kembali
bergema sejak kebelakangan ini disebabkan BN nampak ‘gelojoh’ apabila
membentangkan dan meluluskan banyak akta-akta baru dalam masa 48 jam di Dewan
Rakyat. Namun begitu, bagi menguatkuasakan akta berkenaan, masa masih
diperlukan untuk diluluskan di peringkat Dewan Negara (masih memerlukan siri-siri
pembacaan dan sesi perbahasan) dan akhirnya perlu dipersetujui oleh Yang Di
Pertuan Agong. Maka, untuk menjadikan semua ini selamat digazetkan, paling awal
pun akan siap sebelum bulan puasa (Julai) tahun ini.
Faktor kedua yang penting buat Najib ialah
keadaan ekonomi global dan Malaysia. Majoriti penganalisa ekonomi dunia
menjangkakan ekonomi dunia akan mulai menunjukkan tanda-tanda perlahan
bermulanya suku ketiga tahun ini iaitu seawal-awalnya bulan Julai tahun ini. Pada
hari ini pun ekonomi dunia sedang berada pada tahap matang (maturity) dan dalam hukum ekonomi, fasa
berikutnya mestilah penurunan (decline).
Malaysia juga tidak akan terlepas daripada bahang kemerosotan ekonomi dan akan
lambat launnya merasa kesannya apabila indeks-indeks pelbagai di Bursa Malaysia
akan turut sama menurun. Oleh itu, untuk mengadakan PRU selepas September 2012
adalah mimpi buruk kepada Najib. Setakat ini, banyak kerajaan pemerintah jatuh
di seluruh dunia .
Apabila pilihanraya diadakan
ketika ekonomi mulai meleset.Lebih-lebih lagi di Malaysia, BN sepatutnya lebih gusar
jika ekonomi merosot, undi kaum Cina akan terus merundum bagi BN dan situasi
sokongan rendah di bawah 20% kaum Cina pada BN hari ini pasti lebih memburukkan
keadaan. Ini hanyalah andaian bijak
berdasarkan pola-pola pilihanraya yang dianjurkan semasa ekonomi menurun tetapi
parti pemerintah masih boleh menang sekiranya proses pengundian dimanipulasikan
atau tidak telus. Wallahualam.
Oleh itu, Najib hanya ada masa
bagi membubarkan Parlimen antara bulan Ogos dan September. Tetapi tidak mungkin
Ogos kerana separuh bulan itu adalah bulan Ramadhan dan kurang separuhnya,
orang Islam di Malaysia bakal merayakan Aidilfitri. Oleh itu, awal bulan
September adalah bulan terbaik untuk Najib membubarkan Parlimen dan paling awal
PRU boleh diadakan adalah pada minggu terakhir September dan paling lewat pun
minggu pertama Oktober.
Parlimen
bubar selepas Aidilfitri?
PRU tidak mungkin di adakan
selepas minggu pertama Oktober. Ini adalah kerana pada waktu-waktu berkenaan
para pengundi Melayu beragama Islam sudah ramai berangkat mengerjakan haji dan
UMNO amat mengharapkan golongan Melayu bagi mengekalkan kuasa mereka sebagai
pemerintah walaupun dijangkakan tidak mampu lagi menguasai majoriti 2/3
daripada kerusi Parlimen dan malah mampu menawan Kedah semula.
Kelebihan mengadakan PRU selepas
Hari Raya Aidilfitri dan minggu pertama Syawal adalah kerana para pemimpin BN
dan kerajaan boleh menggunakan kesempatan amalan-amalan semasa Ramadhan untuk
turun bertemu rakyat terutamanya orang Melayu terutamanya majlis berbuka puasa .
Bagi BN terutamanya UMNO, bulan Ramadhan boleh memberikan peluang bagi mereka
‘menabur wang secara halal’ kononnya sempena bulan baik di masjid-masjid dan surau-surau
di atas kapasiti sebagai menteri dan timbalan menteri. Kemudiaan,di bulan
Syawal juga, sudah menjadi kelaziman pemimpin-pemimpin membuat rumah terbuka di
sana-sini. Oleh itu, program-program mendekati rakyat ini satu kelebihan kepada
BN untuk meraih undi-undi Melayu semasa bulan Ramadhan dan Syawal.
Bukan itu sahaja, jika PRU diadakan
pada penghujung Syawal (September), BN
tidak perlu rasa bimbang mengenai anak-anak muda terutamanya
mahasiswa-mahasiswa IPTA yang akan kembali ke kampus bagi meneruskan pengajian
semester baru. Akta baru menggantikan perkara AUKU yang dijanjikan BN mampu
menyukarkan peluang BN jika PRU diadakan pada bulan Jun atau awal Julai kerana
siswa-siswi ini yang kebanyakannya pro-Pakatan sudah berada di kampong halaman untuk
cuti panjang semester dan ini membolehkan mereka bertugas sebagai
sukarelawanuntuk berkempen tanpa sekatan AUKU lagi bagi membantu parti. Oleh
itu, dengan mengadakan PRU semasa siswa sudah kembali ke kampus mengurangkan
risiko buat BN dari mimpi ngeri ini.
Saya ingin kembali semula kepada
persoalan tajuk saya di atas. Saya sudah nyatakan ramalan saya bagi PRU untuk
tahun ini tetapi bagaimana kita meramalkan nasib Najib sendiri. Selepas meneliti pengurusan Bersih
3.0 kali ini yang agak emosional di kedua-dua pihak (polis dan peserta), saya
yakin Najib kini tidak senang duduk. Ini bukannya kerana Najib takut pada
rakyat ataupun parti pembangkang tetapi Najib lebih bimbang kepada tekanan
dalaman UMNO dan BN sendiri. Kegagalan polis bertugas dengan sepatutnya iaitu
sewajarnya mempertahankan Dataran Merdeka daripada dicerobohi dan tidak terlalu
pro-aktif sehingga mengejar para peserta Bersih sehingga beberapa kilometer
adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal sekiranya pihak polis mendakwa
mereka mesra rakyat.
Pengendalian pihak polis kali ini
adalah yang terburuk dan penuh emosi jika dibandingkan dengan pengurusan semasa
Bersih 1.0 dan 2.0. Malahan kali ini ramai wartawan juga menjadi mangsa dan
tindakan merampas bahan rakaman bagi mengelakkan bukti ‘keganasan’ polis
ditunjukkan kepada awam. Ini adalah satu langkah yang tidak mencermin langsung janji-janji
transformasi oleh PM sebelum ini. Malah, tindakan itu dilihat agak menyamai
tindakan ganas pihak berkuasa Libya dan kini Syria di dalam menghadapi
kebangkitan rakyat.
Saya yakin Najib sedar segala
kesilapan polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyebabkan
kedudukannya dalam bahaya. Sudah menjadi lumrah bahawa yang dilakukan polis
mestilah sesuatu yang direstui oleh PM sendiri. Sejak menjadi PM, banyak talian
hayat digunakan oleh Najib bagi mengawal sokongan rakyat kepada kerajaan BN.
Najib dilihat sebelum ini agak berjaya merampas kembali undi-undi kritikal
orang Melayu untuk kembali kepada BN. Kejayaan ini ditambah pula dengan
propaganda-propaganda atau provokasi-provokasi bersifat bangsa dan agama yang
dimainkan oleh rakan-rakan selindung UMNO seperti Perkasa. Meskipun, Najib
pandai mengemukakan dirinya sebagai hero kepada semua rakyat melalui 1Malaysia
tetapi ramai nampak Najib tidak konsisten di dalam perjuangan 1Malaysianya.
Semasa Bersih 2.0, ramai
berpendapat Najib semakin kehilangan sokongan tetapi tidak dinafikan beliau
berhempas-pulas mengawal impak Bersih 2.0 itu dengan mendatangi rakyat dengan
janji-janji transformasi dan juga ‘gula-gula’ untuk rakyat melalui Bajet 2012.
Namun begitu, Najib lupa untuk lebih berhati-hati di dalam menghadapi Bersih 3.0 supaya tidak perlu lagi
bekerja kuat mencari idea-idea baru bagi meraih sokongan-sokongan yang hilang
sepertimana Bersih 2.0 dahulunya. Mungkin Najib ada idea-idea baru termasuklah
yang terbaru mengumumkan dasar gaji minimum swasta tetapi masa untuk Najib
‘memberi’ sudah tidak cukup bagi mengembalikan sokongan ke atas BN atau
meredakan kemarahan rakyat di atas kegagalan menguruskan Bersih 3.0.
Kita sedia maklum disebabkan kegagalan mengawal momentum Bersih 1.0, BN
telah kehilangan majoriti 2/3 kerusi Parlimen dan kehilangan lima negeri dan Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur. Bukan itu sahaja, PM ketika itu, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi (kini Tun) terpaksa melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno dan
sekaligus PM Malaysia.
Dengan apa yang dipaparkan dalam
Bersih 3.0, nampaknya keadaannya lebih parah jika dibandingkan demo-demo
bersirinya sebelum ini. Pastinya Najib tidak cukup masa lagi bagi memperbaiki
kerosakan yang dilakukan pada imej beliau dan BN yang menurun sekelip mata
sahaja akibat ‘jenayah’ polis dalam Bersih 3.0. Mahu tidak mahu, PRU kena
diadakan juga tahun ini. Walaupun mempunyai mandat sehingga Mac tahun depan,
ekonomi Malaysia dan global tidak cukup kuat ketika itu kerana kemelesetan
ekonomi sedunia bukannya perkara sekejap tetapi akan mengambil masa beberapa
tahun untuk pulih.
BN akan
kekal berkuasa tetapi Najib...
Namun begitu, dengan
persempadanan kawasan pilihanraya yang sekian lama memberi kelebihan jumlah
kerusi kepada BN di Sabah dan Sarawak, BN secara keseluruhannya masih
berpeluang untuk mengekalkan kuasa sebagai pemerintah selepas PRU13. Tetapi
keadaan akan menjadi status-quo
seperti yang kita ada hari ini iaitu BN akan gagal memperolehi majoriti 2/3
seperti dahulu tetapi sekadar cukup bagi membentuk kerajaan pusat. Malah, jika
dilihat faktor Melayu, BN berpeluang merampas Kedah dengan majoriti mudah tetapi
mampu kehilangan Negeri Sembilan dan Perak kepada Pakatan di samping kehilangan
beberapa kerusi bandar di Melaka.
Walaubagaimanapun, berita amatlah
buruk jika jentera BN dibawah Najib gagal menduduki majoriti 2/3 kerusi
terutamanya kepada Najib sendiri. Penulis percaya nasib Najib akan sama seperti
Tun Abdullah yang akan dipaksa turun melalui tekanan dalaman UMNO sendiri bagi
memberikan peluang kepada Timbalannya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya juga
percaya Tun Mahathir sendiri (sekiranya umur lebih panjang dari sekarang) akan
memulakan siri konspirasi melemahkan Najib sepertimana beliau lakukan pada Tun
Abdullah dahulu. Dalam politik macam-macam boleh berlaku, Tun Mahathir juga
Melayu sebab menurut beliau Melayu mudah lupa dan Mahathir akan turut melupakan
jasa Tun Abdul Razak yang pernah membawanya masuk semula dalam UMNO dan memberi
peluang kepadanya. Maaflah saya, saya berkata demikian sebab Tun Mahathir pada
hari ini dalam banyak perkara pun sudah lupa.
Pakatan boleh merancang untuk
berkuasa selepas PRU14 dan memperbaiki rank sesama pemimpin Pakatan dan
mencapai kesefahaman yang lebih baik lagi di negeri-negeri yang diperintah.
Bagi penulis, jika Muhyiddin menjadi PM menggantikan Najib, itu adalah berita
baik kepada Pakatan kerana ramai melihat Muhyiddin kurang berkaliber jika
dibandingkan dengan Najib. Hanya bagi Najib, beliau hanya malang disebabkan
banyak bercakap (berjanji) tetapi gagal mendidik jeneral-jeneral beliau sendiri
mengenai apakah transformasi yang ingin dibawanya pada Malaysia. Apa yang
berlaku hari ini adalah kegagalan Najib mendidik mereka yang menyebabkan mereka
terus membuat kesilapan bagi pihak Najib.
Untuk Pakatan, struktur
perjuangan mereka perlu diperbaiki termasuklah memperkenalkan kabinet bayangan
jika mahu menjadi pembangkang yang kuat. Dan yang lebih penting ialah
mengeluarkan kepompong Pakatan daripada dianggap oleh rakyat sebagai ‘alat’
Anwar Ibrahim. Pakatan bukan sahaja perlu bangga dengan Buku Jingganya tetapi
untuk memenangi PRU14, mereka sudah sediakan pelan kecemasan iaitu pelan
Pakatan Rakyat tanpa Anwar Ibrahim.
Artikel ini kiriman dari pembaca yang sampai didalam email saya.