KUALA LUMPUR, 7 Mei: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah melihat dirinya menjadi punca kemarahan rakyat kerana tidak berusaha mereformasi sistem pilihan raya.
Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Najib yang terus menyerang perhimpunan Bersih 3.0, dengan dakwaan pembangkang menolak perhimpunan di dalam stadium serta mahu menggugat keamanan dan keselamatan negara.
“DPPM melihat Datuk Seri Najib keliru dengan kenyataannya yang mungkin kerana tekanan yang begitu kuat diterima oleh beliau oleh rakyat yang bangkit menentang beliau,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor(gambar).
Beliau berkata, mungkin Najib bercakap dalam keadaan panik kerana suasana yang tidak memihak kepada beliau, lalu terpaksa mancari isu untuk dikambinghitamkan.
“Dalam hal ini, PM sepatutnya menyedari apakah tuntutan Bersih 2.0 dan mengapa pula Bersih 2.0 memilih perhimpunan aman,” ujarnya dalam satu kenyatan.
Jelasnya, perhimpunan aman diadakan setelah hampir semua proses rundingan bagi mencari penyelesaian tidak dilaksanakan.
Katanya, oleh kerana pelbagai desakan telah dibuat, daripada pertemuan, mesyuarat, serahan memorandum, dialog, bantahan umum, pendedahan di media, akhirnya Bersih 2.0 memilih perhimpunan bagi menyampaikan isi hati mereka.
Menurutnya, perhimpunan 3.0 sebenarnya adalah opsyen terakhir bagi rakyat bagi menyelamatkan PRU ke-13 daripada dicemari oleh penipuan terancang secara beras-besaran.
Beliau menambah, ia pula diadakan secara aman dan tenteram dengan tema ‘duduk bantah’ bagi menggambarkan rakyat hadir secara rileks dan tenang.
“Bersih 2.0 pula telah memilih lokasi Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunannya.
“DPPM tidak menganggap Dataran Merdeka sebagai kawasan haram dan berbahaya bagi rakyat kerana sudah berpuluh tahun ia di situ dan telah bermacam aktiviti diadakan di sana,” ujarnya lagi.
Katanya, jika alasan kesesakan jalan raya dijadikan punca, kerajaan boleh mengeluarkan notis penutupan jalan serta melencongkan jalan kepada pengguna trafik, sama seperti aktiviti lain yang diadakan di situ.
DPPM, ujarnya merasa hairan, mengapa PM tidak bersedia menghormati keputusan dan kehendak Bersih 2.0 untuk adakan perhimpunan aman di Dataran Merdeka.
Dalam pada itu, ujarnya lagi kerajaan pula memberikan opsyen di stadium yang tidak digemari oleh Bersih 2.0.
Katanya, PM merasa marah kepada Perhimpunan Bersih 3.0 kerana tidak memilih stadium, sebaliknya duduk di tempat awam di Dataran Merdeka.
“Tetapi PM tidak pernah melihat dirinya menjadi punca kemarahan rakyat kerana tidak berusaha mereformasi sistem pilihan raya.
“Samalah juga seperti kerajaan menolak syor dan cadangan Bersih 2.0, serta tidak melaksanakan tuntutan rakyat. Sedangkan Bersih 2.0 telah memberikan kerajaan pelbagai option supaya memperbaiki sistem pilihan raya,” katanya.
Justeru, kata Riduan DPPM meminta PM untuk melihat ke cermin bagi menilik diri beliau sendiri.
“Jika PM tidak lagi mahu rakyat turun ke perhimpunan aman di jalan raya, hanya satu option yang beliau boleh lakukan, iaitu perbaiki segera sistem pilihan raya sebelum PRU 13.
“Rakyat sudah semakin cerdik dan tidak rela harungi PRU ke-13 dengan siri penipuan sekali lagi,” ujarnya.