KUALA LUMPUR, : Gaji minima yang dicadangkan oleh Datuk Seri Najib Razak, iaitu RM900 sebulan untuk Semenanjung dan RM800 sebulan untuk Sabah dan Sarawak, masih di bawah garis kemiskinan dan tidak memberi apa-apa makna kepada pekerja.
Menurut kenyataan bersama Pakatan Rakyat, paras gaji minima yang diumumkan itu sebenarnya sudah dicampurkan dengan segala elaun dan bayaran tambahan.
Jadi, ia bermakna gaji asas minima yang ditawarkan oleh kerajaan UMNO-BN hanyalah sekitar RM700 – RM800, iaitu sama dengan keadaan yang ada sekarang di mana ramai pekerja terjebak dengan tekanan ekonomi yang semakin parah.
Sedangkan, Pakatan Rakyat telah pun menawarkan pakej gaji minima RM1,100 sebulan.
Malah, Pakatan menyedari bahawa gaji minima sahaja tidak memberi apa-apa makna jika tidak disertakan dengan dasar menyeluruh, iaitu melaksanakan gaji minima bersama dengan:
* Dasar yang jelas dan penuh kesanggupan untuk menghentikan pergantungan kepada buruh asing yang tidak mahir;
* Menyediakan dana pelarasan untuk membantu majikan, termasuk mereka dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan bagi meningkatkan teknologi, memberikan potongan cukai serta bantuan kewangan yang perlu; dan
* Menyediakan khidmat penjagaan anak dan perkhidmatan lain untuk membantu wanita bekerja.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera Liew Chin Tong, Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli.
Menurut kenyataan itu lagi, gaji minima bukan benda ajaib yang akan menyelesaikan masalah pekerja kerana kerajaan mempunyai tanggungjawab besar dalam meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam, kesihatan , pendidikan dan perumahan.
“Kegagalan kerajaan dalam bidang-bidang ini akan menghakis segala pendapatan pekerja,” kata kenyataan tersebut.
Para pemimpin Pakatan Rakyat berkenaan juga mendesak kerajaan agar menghapuskan segala monopoli yang hanya menguntungkan kroni kerana kesannya adalah sengsara terhadap pekerja yang berpendapatan rendah.
Pakatan Rakyat mahu pendapatan negara diagihkan secara lebih adil kepada semua pekerja kerana ia dapat menambah penggunaan tempatan yang mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi. – Roketkini.com