KUALA LUMPUR: Debat PTPTN antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli malam tadi turut dihangatkan dengan cadangan kritis moderatornya Dr Mazlee Malik.
Mazlee sebelum menjemput panel meneruskan sesi penggulungan, sempat mencelah dengan tiba-tiba mencadang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat seperti apa yang sedang berlangsung.
"Adakah anda matang, adakah anda bersedia?
"Kita sudah dengar debat pada tahun 2008 di Amerika Syarikat, 2010 di UK, dan di sini negara kita, kita harap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Umum Datuk Seri Anwar akan muncul pada debat menjelang Pilihan Raya Umum, dan saya sanggup jadi moderator," kata Mazli disambut sorakan hadirin.
Tindakan moderator itu membuatkan penonton bersorak seketika dan tak kurang juga yang memberi komen sinis di laman fecebook dan twitter.
Ini kerana debat antara Najib dan Anwar pemimpin itu sebenarnya sudah ditunggu lama oleh rakyat.
Anwar sejak tahun lalu mengeluarkan cabaran debat dengan Najib malah beberapa kali mengulanginya namun Najib tidak melayannya.
Lalu cadangan Dr Mazlee yang mengusulkan semula debat Anwar-Najib malam tadi menghidupkan semula isu itu.
Sementara itu rata-rata melihat debat anjuran Sinar Harian yang bertajuk 'Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi' malam tadi membuka lembaran baru dalam sejarah politik negara.
Biarpun Rafizi dilihat lebih menonjol dengan hujah dan fakta yang diketengahkan, namun bukan soal kalah menang yang menjadi ukuran debat malam tadi.
Lebih besar dari itu adalah kesediaan kedua-dua pihak membincangkan isu-isu dasar negara melalui wacana
Harakahdaily.
terbuka yang dilihat ke arah menuju politik baru