Saf Anti Fitnah (Saf) mengutuk sekeras-kerasnya pengulangan strategi politik lucah yang dipapar dalam media perdana khususnya Utusan Malaysia dan media yang sealiran dengannya dan pelbagai media siber yang didalangi oleh parti pemerintah.
Saf terkejut dengan reaksi pelbagai pihak NGO dan pakar undang-undang yang dengan mudah mengenepikan prinsip bahawa beban bukti bukan di atas yang tertuduh tetapi adalah dipihak yang menuduh.
Apakah dengan hanya memaparkan sebuah video atau gambar maka seseorang itu sudah didapati bersalah dan dipaksa untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah? Adakah sistem keadilan dan hukuman di negara ini sudah menjadi sedemikian murah dan buruk?
Kami mendapati jika media dibenarkan untuk mengulangi amalan politik jijik ini dan seorang itu dengan mudah dituduh bersalah dengan menyebar dan menyiarkan video lucah, sahlah bahawa pihak berkuasa bersekongkol untuk mengguna strategi paling kotor untuk menyerang musuh politik menjelang PRU 13 ini.
Sejak dari isu ini diguna tahun lalu, nampaknya kali ini serangan ke atas peribadi musuh politik dengan cara sangat kotor ini didukung bukan sahaja oleh media malah oleh parti pemerintah dan juga dibenarkan oleh pihak yang berkuasa.
Di kala pemimpin BN menyatakan pihak pembangkang tidak ada modal bila kepincangan kerajaan didedahkan satu- persatu dengan berfakta, jelas mengguna strategi kotor dengan serangan politik lucah dianggap modal paling berkesan oleh parti pemerintah.
Hipokrasi paling jelas dapat dilihat bila modal politik lucah dianggap modal yang dimilikki oleh pemimpin-pemimpin yang diguna secara berterusan sebagai senjata terdesak untuk mempertahankan saki baki kuasa yang masih ada.
Paling malang ahli ugama secara beramai-ramai tidak menyuarakan bantahan terhadap budaya jijik yang terang-terangan diharam oleh Islam. Belum ada lagi teguran yang kedengaran dikeluarkan oleh mana mana pihak dari ahli ugama sama ada dari kalangan ahli parti mahupun yang bertugas dalam agensi agama, kecuali Mufti Perlis yang menyuarakan pandangan beliau dalam suatu wacana di Kelantan baru-baru ini.
Saf menegaskan bahawa akhbar Utusan Malayisa yang menerajui politik kotor ini hendaklah diambil tindakan yang tegas agar ia tidak terus menyumbang kepada budaya politik kotor di negara ini. Para ulama harus bangkit dan memimpin perhimpunan umat untuk mengisytiharkan pendirian mereka dengan tegas dan jelas terhadap gelagat yang amat mengaibkan ini.
Membiarkan media seperti Utusan Malaysia dan TV3 terus menerus menggunakan politik lucah akan mengesahkan memang politik lucah menjadi amalan di negara ini.
Saf menuntut agar seluruh rakyat melancarkan boikot menyeluruh di seluruh negara terhadap media sama ada media perdana mahupun media siber yang terus meneruskan mengguna politik jijik.
Saf menyelar pihak parti pemerintah yang terus menerus melaksanakan strategi terdesak yang melibatkan bukan sahaja penipuan dalam pendaftaran pengundi malah juga penyebaran budaya fitnah lucah untuk menyerang peribadi pihak lawan.
Adakah ini yang dimaksudkan oleh Tan Sri Muhyuddin bahawa PRU 13 kali ini merupakan 'ibu segala pilihanraya' yang akan melibatkan 'ibu segala penipuan' dan 'ibu segala strategi kotor' yang akan digunakan?
Saf tidak nampak cara paling berkesan untuk menghapuskan budaya politik lucah yang memalukan negara selain dari menterjemahkan tindakan rakyat dalam kotak undi akan datang.
Budaya politik lucah dan budaya politik wang menjadi strategi seiring yang nampaknya sudah sejati dengan parti pemerintah.
Rakyat harus merasa malu dengan budaya politik lucah yang bermain dalam gelanggang politik Malaysia. Seganas dan autokratik politik pemerintah di negara seperti Myanmar, Bangladesh, Syria dan beberapa negara Asia Barat, politik fitnah dan lucah tidak menjadi budaya dalam persaingan kuasa.