Tindakan ganas polis terhadap orang awam terutama para wartawan menjadikan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien amat tercalar teruk.
“Sukar bagi PM untuk menjawab dengan masyarakat antarabangsa yang mempersoalkan tindakan kerajaannya terhadap rakyat mereka sendiri.
“Amat payah bagi PM menafikan keganasan polis oleh mangsa yang mendakwanya, kerana semua itu telah dirakamkan,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Riduan Mohd Nor.
Tambahnya, ternyata percaturan mereka dalam menguruskan Bersih 3.0 telah silap dan tersimpang jauh dari matlamatnya.
Sehubungan itu, ujarnya DPPM menganggap tindakan kerajaan yang melayan peserta Himpunan Bersih 3.0 dengan kasar sebagai silap strategi.
Bagi DPPM, menurutnya PDRM telah menggagalkan semua hasrat Perdana Menteri yang mahu memulihkan imejnya di mata rakyat tetapi berkecai dalam sekelip mata semasa mengendalikan Bersih 3.0.
Di atas kertas, kata beliau strategi mereka mahu menjadikan Bersih 3.0 sebagai gambaran keganasan orang awam terhadap pihak polis.
“Dengan imej polis yang dipukul orang awam, kereta polis yang diterbalikkan, motor polis trafik yang dirosakkan, serta peralatan polis yang dirampas pada peringkat awalnya seolah-olah perancangan mereka berjaya.
“Namun demikian, mereka lupa bahawa para wartawan juga berada di tempat kejadian dan mereka merakam setiap insiden keganasan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap orang awam,” tegasnya.
Bahkan, kata Riduan lebih mendukacitakan pula, para wartawan pula dipukul, dicederakan, ditahan dan peralatan mereka dirampas sehingga beberapa orang wartawan terpaksa dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.
Menurutnya lagi, mungkin pegawai tinggi PDRM lupa berpesan kepada anggota yang bertugas supaya tidak mengambil tindakan kasar terhadap para wartawan.
Katanya, mereka juga lupa memberi arahan supaya tidak memukul peserta di hadapan para wartawan.
Yang lebih utama, ujarnya mereka tidak sangka bahawa para wartawan yang dicederakan itu adalah daripada media antarabangsa walaupun media utama negara memaparkan kebaikan dan professionalisme polis dalam mengendalikan Bersih.
“Rakyat yang tidak tahu mungkin boleh ditipu dengan cerita versi mereka sahaja,” ujarnya.
Namun, kata Riduan mereka tidak boleh sembunyikan cerita sebenar dan rakaman video oleh wartawan media antarabangsa mengenai keganasan polis terhadap rakyatnya sendiri.