ARTIKEL SEBELUM

2/05/12

Bersih 3.0: PRU13 mungkin dianjak lagi

SUBKY LATIP,
SEMUA dugaan mengira PRU13 akan berlangsung dalam masa sebulan setengah ini - antara Mei dan Jun jika dilihat tandanya begitu banyak.


Report antarabangsa menyebut rating  Najib untuk memenanginya begitu tinggi dibandingkan dengan masa sebelumnya, lalu bendera Dacing mula dipasang di sana sini.

Tetapi agensi berita antarabangsa mendapati rating Najib jatuh balik berikut dengan reaksi kerajaan dan polis terhadap unjuk rasa Bersih 3.0 Duduk Bantah yang mendapat sokongan rakyat luar biasa pada petang 28 April lalu.

Orang yang membanjiri Kuala Lumpur dari seluruh Semenanjung menggerhanakan kehadirian jelajah Najib  ke seluruh negara menjelang Bersih 3.0 itu.

Bagi meningkat rangsangan rakyat terhadap PRU13 Najib berkunjungan ke semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak dan diikuti dengan lawatan di banyak daerah. Semuanya mendapat sambutan besar. Rating Najib dirasakan naik mendadak.

Tetapi lautan manusia datang  sendiri ke  Bersih 3.0 Duduk Bantah itu mengatasi jumlah semua sambutan yang terhadap Najib di seluruh negara beberapa bulan itu.

Sekalian yang hadir menyabut  Najib itu selain dari diangkut percuma, masing-masing mendapat habuan. Mereka tidak pulang dengan tangan kosong. Tetapi yang ke Bersih 3.0 datang dengan duit dan kenderaan sendiri.

Perdana Menteri Najib diketahui seorang yang penakut. Melihat sambutan Bersih 3.0 yang luar biasa itu mengecutkan perutnya, menyebabkan dia rasa gerun dan kalah sebelum pilihan raya diadakan.

Komennya terhadap kempen himpunan Duduk Bantah itu, kerajaan tidak menghalang demonstrasi itu, tetapi Dataran Merdeka pasang pagar berduri, semua jalan Dataran  Merdeka  ditutup. Reaksi DBKL dan polis tidak sama dengan komen lidah Najib tak bertulang.

Dan apabila bantahan aman itu terganggu dengan aksi memancutkan segala senjata cecairnya kepada penunjuk perasaan dan berlaku kejadian kejar dan pukul memukul oleh polis serta ada pula tindak balas sukarelawan demonstran, menyebabkan darah  tumpah. Ada polis dan penunjuk rasa yang dihospitalkan.

Sekali gus kebijaksanaan kerajaan dan polis dibicarakan oleh rakyat. Najib menyalah kemalangan itu kepada penganjur tetapi antara yang terpukul itu adalah wartawan. Dia dirawat di hospital kerana paluan polis. Najib dan menteri mengunjungi wadnya bagi menyatakan, ‘Sorry!’

Najib tidak akan berjaya menyalahkan pembangkang atas semua insiden. Tetapi rakyat bebas membicarakan Najib, UMNO dan BN di jalan-jalan dan warung-warung. Semua tempat itu menjadi mahkamah rakyat. Hakimnya adalah sekalian pengundi.

Bantahan itu ada tuntutannya. Lapan tuntutan Bersih 2.0 tidak dipenuhi sekali Najib menubuhkan jawatankuasa parlimen  tentang pilihanraya. Satu apa hasil pun  tidak ada. Jawatankuasa itu jadi sia-sia. Bersih 3.0 menuntut tuntutan Bersih 2.0 dilaksanakan. Jika tidak dipenuhi sudah ada rentang menunggu Bersih 4.0.

Semua perkembangan itu menyebabkan Najib menanggung risiko pilihan raya sebulan lagi. Sekencang manapun TV memburukkan pembangkang tetapi buruk untuk  Najib dan BN menunggu.

Tambah berat lagi DUN Selangor tidak dibubarkan Mei dan Jun ini sebab daftar pengundi  tidak dibersihkan. Pilihan raya Parlimen saja ada di Selangor. Selagi tuntutan kerajaan Selangor  tidak dipenuhi DUN hanya menunggu bubar sendiri.

Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang menunggu sama ada membubarkan DUN masing-masing dengan daftar undi yang kotor itu. Menyertai piliharaya yang begitu kotor bererti menyerahkan batang leher untuk disembelih.

Apa pun polis sudah menyusahkan Najib dan DBKL membantu memburukkan Najib dengan tindakannya. DBKL tidak menanggung apa-apa dengan memagar Dataran Merdeka, tetapi Najib terpaksa membayarnya. Polis tidak masuk pilihan raya. Yang masuk UMNO dan Najib.

Kesan 28 April yang ada perbalahan antara demonstaran dan polis menyebabkan belum tentu Parlimen bubar antara Mei dan Jun. Jika ditunda, masa baru ialah September. Bacaan dunia tentang hati Najib ialah pilihan raya ditunda lagi. Ia hanya ada Mei dan Jun ini kerana Najib mahu tunjukkan andaian dunia semua tidak betul.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud