ARTIKEL SEBELUM

17/05/12

Apakah niat sebenarnya BN mengagihkan sejumlah besar wang kpd umum? Wang dari syurga kononnya!

Apakah niat sebenarnya BN mengagihkan sejumlah besar wang kpd umum? Wang dari syurga kononnya!
Secara umumnya kami merasa amat terkejut dengan langkah kerajaan BN baru-baru ini yang telah mengagihkan sejumlah besar wang ringgit kepada umum dan selepas itu, kerajaan BN terus menjanjikan habuan yang lebih besar di masa yang terdekat lagi, sedangkan ekonomi dunia kini sedang menghadapi kegawatan di mana kerajaan di kebanyakan negara sedang mengambil langkah-langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat bagi menjamin kestablian ekonomi negara masing-masing.
Persoalannya adalah, adakah Malaysia ini tidak terasa langsung dengan kegawatan ekonomi dunia sekarang? Adakah negara kita ini punyai ekonomi yang sekuat negara gergasi seperti Amerika, China, Jepun ataupun Korea yang membolehkan mereka mengagihkan sejumlah besar wang kepada orang ramai seperti tidak ada apa-apa yang sedang berlaku?
Ingin kami ketengahkan, walaupun negara sekuat mana pun baik Amerika, China, Jepun mahupun Korea, mereka ini akan tetap merasakan baham kegawatan tersebut dan negara-negara gergasi inilah yang paling cepat mengatur langkah-langkah untuk mengimbangi ekonomi negara masing-masing. Hairanya jika sekiranya kerajaan BN pimpinan perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak ini dapat mengatakan kepada orang ramai bahawa ekonomi negara ini langsung tidak tergugat oleh kegawatan ekonomi sedunia ataupun serantau.
Kalau hendak membohongi mereka-mereka yang tidak berpendidikan ataupun mereka yang menduduki kawasan pendalaman dan perkampungan yang terpencil yang tidak dapat menikmati sebarang kemudahan asas, mungkin ianya berjaya dilakukan. Bagi rakyat yang berpendidikan, mempunyai daya pemikiran yang bijak, tahu mengenai selok-belok politik dan hal-ehwal negara ini, berdaya maju, mempnyai pengetahuan dan kepakaran yang mencukupi di dalam semua bidang, bolehkah Najib melanjutkan skim penipuannya terhadap golongan ini? Sudah tentunya tidak.
Pelbagai bantuan mengejut
Kita tengoklah berbagai-bagai bentuk skim kewangan diwujudkan kerajaan BN baru-baru ini yang bertujuan untuk menggembirakan rakyat jelata. Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang berjumlah RM500 seorang, skim bantuan tunai segera RM100 seorang untuk semua pelajar dari tahun satu hinggalah ke tingkatan lima.
Selain daripada itu, baucar buku yang bernilai RM200 turut disalurkan kepada setiap penuntut universiti, matrikulasi dan para pelajar tingkatan enam tanpa sebarang syarat. Dan pada awal tahun ini juga, skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara1M) turut ditawarkan kepada setiap isirumah dengan janji pulangan tetap sebanyak RM50 sebulan.
Untuk mengagihkan sejumlah besar wang ringgit ini kepada rakyat jelata, kerajaan BN telah melantik beberapa buah bank-bank utama di negara ini untuk berbuat demikian. Apa yang rakyat perlu adalah pergi ke bank yang terdekat untuk menunaikan wang tersebut setelah mengemukakan baucar ataupun surat pembayaran mereka kepada kaunter bank tersebut.
Adalah dianggarkan sebanyak RM100 juta telah diagihkan melalui bank-bank yang dilantik itu. Dari manakah jumlah sebanyak RM100 juta itu datang? Sudah tentunya asalnya wang tersebut adalah daripada kalangan rakyat jelata yang telah sekian lama membayar cukai pada setiap tahun.
Persoalannya adalah apabila wang tersebut dihabiskan secara spontan untuk rakyat jelata, bagaimanakah kerajaan BN ini dapat menabung semula dengan begitu cepat sekali? Adakah Bank Negara telah diarah untuk mencetak lebih banyak wang bagi mengisi semua perbendaharaan negara? Ada kemungkinan juga? Atau mungkinkah kerajaan BN ini akan menggadaikan aset-aset negara bagi mendapatkan pinjaman dari negara-negara kaya.
Jawapan yang tepat adalah sukar didapati.
Kenaikan mendadak gaji perkhidmatan awam
Pada suku pertama tahun ini juga, kerajaan BN telah mengumumkan penyusunan semula gred gaji dan jawatan-jawatan di dalam sektor perkhidmatan awam melalui skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan melibatkan lebih daripada 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.
Untuk makluman umum, perkhidmatan awam di negara kita ini adalah merupakan majikan yang terbesar di Asia Tenggara.
Walaubagaimanapun SBPA telah menampakkan kecacatannya dari segi pengagihan kadar kenaikan gaji untuk mereka yang berpangkat rendah hinggalah ke yang paling tinggi kedudukan dan ini menyebabkan Kongress Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah dengan keras skim SBPA itu yang disifatkannya sebagai tidak adil untuk mereka yang berpangkat lebih rendah.
Akibat daripada bantahan Cuepacs, kerajaan BN terpaksa membatalkan perlaksanaan SBPA itu dan merengkok kembali kepada skim yang lama iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM).
Perkara pokok di sini adalah, kenapa para pegawai kanan kerajaan memerlukan kenaikan gaji yang begitu mendadak sekali, walaupun di dalam skim lama SSM? Kenapa tidak pula diseimbangkan kenaikan gaji para kakitangan awam yang berpangkat yang lebih rendah untuk diselaraskan dengan kemampuan mereka berdasarkan kenaikan kos harian dan kadar inflasi yang begitu tinggi?
Dan jika sekiranya ianya tidak ditangani dengan segera, adalah dibimbangi jurang perbezaan di antara mereka-mereka yang kaya, sederhana dan miskin akan bertambah buruk lagi dan di suatu hari nanti, mungkin golongan yang berpendapatan sederhana ini akan lesap sama sekali di negara ini.
Jadi cadangan asal kerajaan BN yang ingin menggembirakan semua kakitangan awam dengan skim saraan yang baru itu tidak mendapat sambutan malah menerima bantahan pula daripada Cuepacs.
Adalah jelas langkah terburu-buru oleh kerajaan BN itu adalah bertujuan untuk memastikan sokongan para kakitangan awam untuk BN di dalam pilihanraya umum yang akan datang yang merupakan suatu langkah jangka pendek yang menelan belanja yang begitu besar sekali.
Banyak agihan wang disalahgunakan
Kita tengoklah contoh yang pertama iaitu agihan wang di bawah BR1M (sebanyak RM500 seorang). Walaupun BR1M itu pada asalnya disasarkan untuk golongan yang berpendapatan RM3000 dan ke bawah, namum kita dapati pengagihan wang tersebut telah banyak kali disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tertentu.
Akibat daripada itu, kita dapati ada di kalangan golongan kaya raya turut menikmati pemberian wang sejumlah RM500 seorang itu. Malah kita juga dapati beberapa orang yang bergelar Datuk turut mendapat bantuan wang tersebut.
Apa yang sudah terjadi? Kenapa mereka yang kaya raya turut menikmati faedah tersebut?
Dalam pada itu, pemberian wang sejumlah RM100 untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah itu turut disalahgunakan, malah ada pihak yang cuba memalsukan butiran anak-anak mereka, jumlah pelajar di sesebuah sekolah “ditambah” bagi mendapatkan wang berlebihan tersebut dan banyak lagi bentuk penipuan.
Bagi baucar buku RM200 itu pula, ramai penuntut, apabila menerima baucar tersebut dengan segera mengiklankan baucar-baucar tersebut di dalam laman Facebook untuk jualan kepada umum dengan harga yang lebih murah untuk mendapatkan tunai yang cepat. Ianya untung apabila baucar RM200 itu dijual dengan harga RM150, yang si penjual itu akan mendapat untung kerana tidak mengeluarkan modal, malah yang membeli itu turut untung kerana mendapat diskaun RM50.
BN menyemaikan budaya negatif
Adalah amat tepat sekali bahawa kerajaan BN telah menyemaikan budaya yang negatif dengan agihan sejumlah besar wang ringgit kepada umum, terutamanya di kalangan anak-anak muda kita.
Apabila mendapatkan wang tersebut, akan disangka bantuan tersebut akan berterusan selama-lamanya, dan apabila pemikiran tersebut timbul, wujud pula sikap tidak perlu bekerja keras untuk menampung masa depan mereka kerana wang akan datang terus kepada mereka dengan senang.
Akibat daripada itu, golongan muda mudi ini akan menjadi boros berbelanja tanpa merasakan bertapa susahnya untuk memperoleh pendapatan dan perlunya untuk bekerja keras untuk mendapatkan wang tersebut. Apakah akan terjadi di suatu hari nanti? Anak-anak muda kita ini akan menjadi malas, tidak mahu bekerja, tidak berdaya saing, tidak mahu berusaha, tidak bersungguh-sungguh di dalam komitmen mereka dan berbagai-bagai elemen yang negatif lagi.
Persepsi yang disemaikan oleh kerajaan BN ini semata-mata untuk mendapatkan populariti murahan dan sokongan untuk pilihanraya umum yang akan datang. Memang keji akan perbuatan tersebut.
Sudahlah dengan merosakkan negara ini dengan pelbagai salahguna kuasa, penyelewengan kewangan, rasuah, penipuan dan peras ugut, ditambah pula dengan kerosakan ke atas pemikiran rakyat jelata khususnya di kalangan anak-anak muda kita.
Bayangkanlah apakah yang akan berlaku pada generasi yang akan datang jika sekiranya BN terus diberi “mandat” untuk memerintah selepas pilihanraya umum yang akan datang?
Dengan BN lah, negara kita ini mungkin akan kembali ke era tahun 1511 di mana negara ini akan kembali dijajah dan dibahagi-bahagikan oleh kuasa-kuasa asing.
Malaysia Chronicle

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud