KUALA LUMPUR 2 April: Umno mengakui tiada calon dari Barisan Nasional (BN) layak untuk menjadi Menteri Besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada Pakatan Rakyat.
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir toyo berkata Umno setakat ini tidak mampu menghasilkan calon yang berkebolehan mencabar Menteri Besar sedia ada.
“Terlalu sukar bagi Selangor, saya tidak dapat memberi jawapannya (calon Menteri Besar).
“Mungkin mereka (pemimpin Umno) takut untuk mendedahkan diri mereka di khalayak ramai jadi orang tidak boleh melihat mereka … tidak ada peluang yang diberikan (untuk sesiapa sahaja) untuk menerajui Selangor,” kata Khir dipetik The Malaysian Insider.
Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Rantau Panjang sejak kebelakangan ini kerap mengkritik pimpinan Umno-BN di Selangor.
Sebelum ini Khir meramalkan, Barisan Nasional bakal kehilangan Selangor sekali lagi kerana Umno terlalu dominan di negeri itu. Hal itu membuatkan undi bukan Melayu akan beralih ke Pakatan Rakyat.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini melahirkan rasa gembira dengan kejayaan negeri itu yang ditadbir Pakatan Rakyar (PR) memacu ekonominya menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan anggaran 22 peratus.
Baginda turt berbangga dengan kejayaan Selangor mencatat pelaburan pada 2011 sebanyak RM8.74 bilion dengan 263 projek berjaya dimajukan sekaligus membuka peluang pekerjaan baru kepada lebih RM15,000 rakyat Selangor di pelbagai sektor pekerjaan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga mengiktiraf Khalid sebagai Menteri Besar terbaik menerajui kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.
“(Tan Sri) Khalid (Ibrahim) adalah menteri besar dan ketua menteri yang paling smart di negara ini dan dia lebih kuat berbanding dengan apa yang kita lihat sebenarnya.
“Ini sangat jelas kelihatan dalam sebarang mesyuarat dan saya fikir Selangor lebih kuat dari apa yang kita dilihat,” kata Guan Eng.