ARTIKEL SEBELUM

8/04/12

Projek Vale: Nizar mahu Zambry dedah dokumen penuh

nizar
SHAH ALAM - Datuk Seri Nizar Jamaluddin mahu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kader agar mendedahkan maklumat penuh dengan mengisytiharkan empat dokumen penting berkaitan dengan projek pengagihan bijih besi Vale International SA.

Sejak sebulan lalu, Nizar bersama pemimpin Pakatan Rakyat (PR) lantang menyuarakan bantahan terhadap projek itu, termasuk menyertai demonstrasi di pintu masuk kawasan pembinaannya di Teluk Rubiah dekat Lumut.

Beliau juga sebelum ini sering membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri ketika pimpinannya hanya mencadangkan projek itu dilaksanakan di Tanjung Hantu, Bagan Datoh dan tidak bersetuju dengan Teluk Rubiah kerana dikatakan ia boleh menjejaskan kawasan pelancongan dan alam sekitar.

Bekas Menteri Besar itu mahu kerajaan negeri mengklasifikasikakan semula laporan kesemua minit mesyuarat oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan projek Vale, kelulusan Exco Barisan Nasional (BN) untuk projek tersebut, surat kebenaran ditandatangani Zambry kepada Vale dan perjanjian pelaburan antara Kerajaan Negeri dan Vale.

"Zambry tidak boleh memilih dalam memberi maklumat kepada orang ramai.

"Gambaran yang diberikan Zambry merupakan gambaran separuh benar pada yang terbaiknya dan penipuan besar pada yang paling teruknya," kata beliau dalam satu kenyataan media.

Wakil rakyat itu berkata, jika Zambry ikhlas berkhidmat untuk rakyat dan tidak bermain politik murahan yang didakwa beliau, "kami menuntut dan mencabar beliau untuk mendiklasifikasikan dan mengisytiharkan," dokumen-dokumen berkenaan.

Katanya, PR Perak ingin menolak segala serangan Zambry yang mengatakan bahawa Exco PR terlibat dalam membenarkan dan meluluskan tanah untuk Vale di Teluk Rubiah.

"Amat tidak masuk akal sama sekali untuk mengatakan bahawa kerajaan PR menawarkan bekas tanah resort di Teluk Rubiah kepada Vale kerana ia adalah tanah persendirian.

"Kerajaan PR Perak telah mencadangkan Tanjung Hantu sebagai kilang mempeletan bijih besi dan juga projek pusat distribusi yang mana dicadangkan Vale," kata beliau.

Menurut beliau, Tanjung Hantu yang terletak kira-kira 45 kilometer dari Teluk Rubiah dan merupakan tempat yang dinyahhutankan dan mempunyai penduduk yang bilangannya kecil sahaja.

"Tanah yang dicadangkan juga merupakan tanah milik negeri. Kita berpendirian teguh atas pendirian ini," kata beliau lagi.

Nizar berkata, surat beliau selaku Menteri Besar Perak ketika itu hanyalah kenyataan pengaluan, untuk bersetuju untuk menimbangkan kesemua tapak yang dicadangkan termasuk Teluk Rubiah.

"Seperti mana jua seorang Menteri Besar yang bertanggungjawab, saya menunjukkan budi bahasa dan positiviti kepada seorang yang berpontensi menjadi pelabur asing kepada negeri yang mana patut diterima mereka sebelum apa-apa penyiasatan dan keputusan dibuat," katanya lagi.

Nizar menambah, hal tersebut hanya di peringkat permulaan dan laporan daripada agensi negeri yang berkaitan belum lagi dikumpulkan dan dibincangkan.

"Dan, ia masih belum dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Exco.

"Oleh itu, tidak mungkin sebarang keputusan boleh dibuat atas isu tersebut. Isu tersebut hanya boleh akan dibuat selepas Penilaian Kesan Alam Sekitar dijalankan dan keputusannya hendaklah memuaskan," katanya lagi.

Tambahan pula agensi-agensi seperti TNB yang mempunyai stesen janakuasa hampir dengan Teluk Rubiah, Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa, Jabatan Perikanan dan Marin, Pejabat Tanah dan Galian dan Kementerian Pertahanan perlu dibincangkan.

"Apabila kita mengkaji tapak yang berpotensi, kita amat terkejut dengan penemuan kita.

"Harta Makmur Sdn Bhd yang memiliki tanah resort Teluk Rubiah menghadapi masalah kewangan. Syarikat tersebut berhutang dengan kerajaan negeri lebih RM20 juta untuk cukai pintu.

"Ia juga mempunyai sejumlah hutang dan pinjaman belum berbayar kepada pelbagai institusi kewangan melebihi RM200 juta. Oleh yang demikian, kita ada beberapa pertanyaan," katanya.

Justeru soal beliau, apakah keputusan untuk meluluskan projek tersebut di Teluk Rubiah dipengaruhi oleh pertimbangan untuk membantu Harta Makmur.

"Tapak tersebut dan kawasan sekitarnya mempunyai tugas sebagai menjadi tumpuan pelancongan di Manjung. Berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk mencantikkan kawasan tersebut demi menjadikan ia tumpuan pelancongan yang luar biasa cantiknya.

"Saya juga ingin tahu mengapa Zambry begitu melindungi kepentingan Harta Makmur, meskipun ia jelas bertentangan dengan kebajikan rakyat," katanya lagi.- Sinar Harian

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud