Oleh Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 11 April: Keghairahan Umno BN mempergunakan pelbagai taktik kotor termasuk menerusi Projek IC untuk menang dalam PRU Ke-13, khususnya di Sabah, mungkin akan membawa padah kepada parti itu sendiri.
Kejadian itu tidak mustahil berlaku jika didasarkan kepada pangalaman tahun 1985 lalu, apabila BN mengalami kekalahan teruk kepada PBS walaupun BN begitu yakin akan menang bergaya pada pillihanraya tahun itu dengan taktik kotornya itu.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah (gambar atas) menegaskan, jumlah pengundi hantu di Sabah yang dilahirkan menerusi Projek IC bagi menghadapi pillihanraya pada tahun itu berjumlah lebih 50,000 orang.
Menurutnya, perkara itu diakui sendiri oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Haris Salleh yang bertanggungjawab melakukannya sejak tahun 1984 lalu bagi memenangkan partinya, Berjaya bagi pihak BN.
Katanya, pengakuan Haris itu turut dimuatkan dalam buku yang berjudul 'Haris Salleh of Sabah', karangan Paul Raffaele yang diterbitkan oleh Kondor Publishing di Hong Kong pada tahun 1986 lalu, khususnya pada muka surat 425.
"Tetapi BN tetap juga kalah kepada PBS pada tahun itu dengan hanya memenangi 11 daripada 32 kerusi, berbanding PBS yang memenangi 21 kerusi," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.
Berdasarkan pengalaman itu, menurut beliau, BN sendiri turut cemas untuk menghadapi PRU Ke-13 nanti kerana bimbang kejadiian yang sama akan berulang dengan kemenangan kepada Pakatan Rakyat pula.
Katanya, kejadian itu tidak mustahil berlaku di Sabah kerana soal pengundi hantu di Sabah berbeza dengan di Semenanjung Malaysia sehingga ia tidak begitu membimbangkan PAS dan Pakatan Rakyat sendiri.
"Di Sabah memang banyak pengundi hantu. Masalahnya samalah juga dengan di Kuala Lumpur atau di Semenanjung. Kebanyakan pengundi hantu di Sabah datangnya dari Filipina.
"Tapi sekarang soal pengundi hantu tidak terlalu membimbangkan kita. Banyak di kalangan pengundi hantu di Sabah sekarang telah memihak kepada Pakatan Rakyat. Jadi jika pengundi hantu menjadi sesuatu yang membimbangkan di Semenanjung, di Sabah pula sebaliknya," jelasnya.
Beliau menegaskan, lebih membimbangkan BN apabila mood rakyat Sabah sendiri kini jelas lebih terarah kepada Pakatan Rakyat, ekoran kemunculan beberapa isu yang gagal ditangani dengan baik oleh BN sepanjang pemerintahannya di negeri itu.
Antaranya termasuklah isu tanah adat yang berjumlah tidak kurang 500,000 hektar yang sebahagian besarnya diduduki oleh orang-orang Kadazan, Murut, Dusun dan Sungai sejak turun temurun.
"Kini tanah-tanah adat itu sedang diusahakan oleh Umno BN untuk diberikan kepada syarikat-syarikat besar dari Kuala Lumpur yang juga kroni-kroni para pemimpin Umno BN sendiri.
"Ini menjadikan rakyat Sabah seperti dihalau dari negerinya sendiri, sehingga menyebabkan mereka begitu marah kepada Kerajaan BN. Mereka juga yakin sudah tidak lagi boleh menaruh harapan kepada BN untuk menyelesaikan masalah mereka, melainkan hanyalah kepada Pakatan Rakyat," ujar beliau.
Harakah daily.com