ARTIKEL SEBELUM

17/04/12

Mahkamah Persekutuan di sini semalam mengekalkan hukuman penjara setahun terhadap bekas imam Hoslan Husin, yang didapati bersalah menghina mahkamah dengan membaling kasut ke arah panel Hakim Mahkamah Persekutuan.
Panel lima hakim, yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, sebulat suara menolak permohonan Hoslan untuk mendapatkan semakan semula keputusan panel hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini, yang mendapatinya bersalah dan menjatuhi hukuman penjara satu tahun.
Hakim Malanjum berkata, permohonan Hoslan untuk mendapatkan semakan semula itu dibuat mengikut Peraturan 137, Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 yang menetapkan syarat daripada segi undang-undang bahawa Hoslan perlu melepasi batasan yang menunjukkan bahawa wujud isu ketidakadilan, sebelum semakan semula yang dipohonnya boleh diluluskan.
"Tetapi, batasan itu tidak dilepasi. Tidak wujud halangan daripada segi undang-undang yang dilanggari panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini,” katanya ketika menolak hujah peguam Tommy Thomas yang mewakili Badan Peguam Malaysia bahawa panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang dibaling dengan kasut oleh Hoslan, bukan panel yang sepatutnya mendengar kes menghina mahkamah itu.
Empat hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong; Datuk Ahmad Maarop; Datuk Zainun Ali; dan Datuk Seri Sulong Matjeraie.
Hoslan memfailkan permohonan bagi semakan semula kehakiman atas hukuman penjara setahun yang dikenakan terhadapnya kerana menghina mahkamah dengan membaling kasut ke arah panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pada 22 Februari tahun ini selepas panel itu menolak permohonannya untuk mengemukakan rayuan dalam satu kes sivil. 


posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud