CHELSEA gagal menggunakan peluang keemasan untuk meletakkan kelab itu berada dalam kedudukan keempat terbaik Liga Perdana Inggeris apabila hanya mampu seri tanpa jaringan dalam pertemuan dengan Arsenal hari ini.
Dengan ini, ia juga menjejaskan impian Chelsea untuk memintas Newcastle yang kini mendahului satu mata bagi memburu tiket automatik ke kejohanan Liga Juara-juara.
Di akhir perlawanan ke-34 bagi kedua-dua kelab, berlangsung di Stadium Emirates, Arsenal seimbang apabila terus kekal berada di tempat keempat Liga Perdana Inggeris dengan mengutip 65 mata manakala Chelsea di tangga keenam dengan mengutip 58 mata. Sementara itu pertembungan di La liaga antara Barcelona dengan Real Madrid berkesudahan Barcelona tewas di tangan Real Madrid 2 - 1.
PEMAIN Real Madrid, Cristiano Ronaldo (tengah) cuba dihalang pertahanan Barcelona, Carles Puyol (kanan) dan rakan sepasukan Daniel Alves dalam saingan Liga Sepanyol di Nou Camp, Barcelona, awal pagi ini. Keputusan Real Madrid menang 2-1
REPUTASI 'Pembunuh Gergasi' terus dibuktikan pasukan Liga Perdana, Sime Darby FC yang kali ini menjadikan Terengganu sebagai mangsa apabila menumbangkan penyandang juara itu 2-1 pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Jurulatih skuad penyu, Mat Zan Mat Aris beranggapan ketiadaan Ismail Faruqi menjadi punca barisan tengah skuadnya kurang berfungsi sekali gus memberi ruang kepada pelawat untuk melakukan serangan.
“Kami tiada perancang yang boleh membuat hantaran, tetapi peluang ke final masih terbuka. Ada 90 minit lagi aksi dan kami akan bermati-matian berjuang untuk layak,” katanya selepas tamat perlawanan.
Ketiadaan Ismail Faruqi mengemudikan barisan tengah dan pertahanan kiri Zubir Azmi yang digantung perlawanan menyaksikan pasukan pelawat, Sime Darby lebih banyak menguasai permainan pada babak masa pertama.
Selepas buntu pada babak pertama, tuan rumah meningkatkan asakan namun pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Patrick Ronaldinho pada minit ke-52 hasil gerakan serang balas sebelum Terengganu mencetus sorakan penyokong mereka dengan gol penyamaan minit ke-65 menerusi Francis Forkey Doe.
Ketika permainan tampak berkesudahan dengan keputusan seri, pemain gantian, Syukur Saidin meledak gol kemenangan pelawat pada masa kecederaan untuk memberi bekalan selesa kepada Sime Darby menjelang perlawanan kedua di Stadium Selayang 1 Mei ini.