(Oleh: Mohd Martin Kahar)
KUANTAN, 2 Mac: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dicabar menghapuskan semua tol melalui pengambil alihan syarikat konsesi yang mengaut keuntungan berbilion ringgit.
“Syarikat konsesi sudah mencapai keuntungan berbilion ringgit sejak mengambil alih dari kerajaan. Keuntungan projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dianggarkan melebihi RM7 bilion setahun.
“Dalam Buku Jingga kita tegas akan membatalkan kontrak pemegang konsesi sekiranya mendapati mereka telah mencapai keuntungan yang munasabah,” katanya ketika dihubungi KeadilanDaily.
Azan berkata, kerajaan tidak menghadapi masalah dengan pemegang konsesi untuk menghapuskan tol kerana kebanyakan kos asal projek lebuh raya ditanggung kerajaan sebelum diswastakan.
Sebagai contoh beliau berkata, kerajaan menanggung kos projek PLUS sebanyak RM5 bilion tetapi syarikat ini mengaut keuntungan mencecah RM 18 bilion.
“Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu mengurangkan beban pengguna, Najib seharusnya mengambil kira keadaan ekonomi di mana menyaksikan kehidupan rakyat tidak menentu pada masa kini.
“Kita cabar kalau kerajaan ikhlas memikirkan tentang masalah rakyat batalkan semua tol sekarang juga. Kalau ekonomi rakyat meningkat, itu terpulang kepada kerajaan untuk mengutip tol kembali,” katanya.