SENAWANG – Seramai 22 penternak lembu di Rantau kecewa ternakan mereka hilang dipercayai dicuri.
Kejadian itu berlaku sejak tiga tahun lalu dan dalam tempoh berkenaan, 250 ekor lembu hilang.
Terbaru, seorang penternak, S Krishnasamy, 54, kehilangan 13 ekor lembu susu di kawasan ladang Kombok, Rantau, 23 Januari lalu.
Krishnasamy berkata, sejak lapan tahun menjadi penternak lembu, ia adalah kejadian yang pertama.
“Seperti biasa, pada jam 10 pagi, saya lepaskan lembu di kawasan ladang ternakan di sekitar ladang Kombok, namun kira-kira jam 3 petang semasa saya mahu melihat keadaan ternakan, semuanya sudah tiada.
“Lembu dewasa semua hilang, yang tinggal hanya anak lembu yang masih meragut rumput di sekitar ladang tersebut,” katanya.
Menurutnya, dia cuba mencari lembunya di sekitar ladang tetapi tidak berhasil.
“Hanya terdapat beberapa kesan darah di sekitar ladang tersebut, dipercayai milik lembu yang disembelih, “ katanya pada sidang media di Pejabat DAP Senawang, semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senawang, P Gunasekaran.
Krishnasamy berkata, sebelum ini rakannya turut mengalami nasib yang sama.
“Berikutan kejadian ini, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seremban 2,” katanya.- SH