ALOR SETAR - Di sebalik spekulasi dua Exco Kerajaan Kedah dikatakan akan menolak tawaran menyambung jawatan sebagai tanda protes kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, beliau sendiri membayangkan akan ada kejutan pada hari angkat sumpah Exco baru 28 Februari ini.
"Tunggu 28 Februari, saya pun ada nak buat kejutan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sama ada berlaku rombakan ataupun tidak, semua persoalan akan terjawab pada hari itu.
Mengenai isu dua anggota Exco disebut-sebut akan menolak jawatan sebagai tanda protes terhadap beliau, Azizan mengaku hairan kerana surat tawaran pelantikan belum lagi dihantar.
"Surat lantikan belum dihantar, macam mana pula boleh ada yang tolak," katanya.
Menurutnya, selagi pelantikan tidak dibuat, tidak wajar untuk mendedahkan senarai nama anggota Exco, sama ada yang sedia memegang jawatan akan dikekalkan ataupun diganti dengan muka baru.
Mengulas desas-desus mendakwa kedua-dua Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, iaitu Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi (Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga) dan Dr Ismail Salleh (Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi) menolak dilantik semula sebagai Exco, Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas negeri menyifatkan itu hanya khabar angin.
“Rramai orang sebelum ini pun bercakap perkara tidak betul berkenaan Kerajaan Negeri. Banyak dakwaan sebelum ini pun tak betul, tapi mereka cakap juga,” katanya.
Sementara, Penolong Setiausaha Kerajaan (Pengurusan Korporat), Noor Akmar Mohd Omar mengesahkan senarai anggota Exco penggal 2012 belum dikeluarkan.
“Sehingga hari ini, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri belum menerima senarai siapa yang dilantik sebagai Exco. Senarai itu akan diberikan kepada media, sebelum bermulanya majlis pelantikan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Anak Bukit, 28 Februari ini,” katanya.
Phahrolrazi ketika dihubungi, berjanji membuat kenyataan apabila tiba masanya.
“Buat masa ini, lebih elok saya tidak buat sebarang kenyataan. Sampai masa nanti saya sendiri akan berikan kenyataan,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya, perkara itu lebih elok dijelaskan sendiri oleh Menteri Besar, bukannya melalui spekulasi atau sumber tidak rasmi.
Ismail pula mengakui tidak tahu menahu mengenai spekulasi itu kerana beliau tidak tahu apa yang berlaku.- Sinar