Sewaktu sambutan Tahun Baru Cina yang lalu, ahli-ahli politik BN dan Umno telah banyak memberikan pujian yang luarbiasa yang jarang kita dengar sebelum ini, khususnya kenyataan daripada menteri perdagangan antarabangsa dan industri Datuk Mustahpa Mohamad yang juga ketua perhubungan Umno Kelantan.
Ketika ditemuramah oleh beberapa wartawan sebelum ini, Mustapha telah mengakui bahawa kalangan ahli-ahli perniagaan berbangsa Cina di negara ini masih percaya bahawa dasar ekonomi dan perdagangan di negara selama ini memihak kepada orang-orang Melayu dan berlaku tidak adil terhadap masyarakat Cina pada keseluruhannya setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970.
Keluhan tersebut tidak sepatutnya bertumpu pada hanya pendapat daripada masyarakat Cina terhadap dasar tersebut, bahkan ianya juga patut dilihat melalui pelbagai sudut, pendapat kaum-kaum yang lain, para pelabur asing dan masyarakat antarabangsa. Sememangnya ketelusan dan liberalisasi ekonomi juga dapat memanfaatkan negara dan rakyat pada keseluruhannya daripada dasar yang hanya boleh memuaskan dan menguntungkan satu kaum dan agama sahaja.
Implikasi daripada kenyataan Mustapha adalah negara ini sedang menuju ke arah liberalisasi dan keterbukaan pasaran di mana banyak rancangan transformasi telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.
Oleh itu, marilah kita mengkaji beberapa siri transformasi tersebut untuk menentukan sama ada rancangan tersebut telah benar-benar berjaya atau sebaliknya.
Subsidi dan dasar perlindungan
Pada umumnya, kita semua sememangnya telah mengetahui bahawa rakyat jelata dan negara telah banyak membantu membayar subsidi kepada Proton sejak ianya dilancarkan dan kereta buatannya mula dipasarkan pada tahun 1985.
Bagi melindungi Proton daripada saingan, kereta-kereta import dikenakan cukai 100% yang mengakibatkan bebanan yang terpaksa dipikul oleh rakyat jelata lebih 20 tahun. Sejumlah 106,000 orang telahpun diisytiharkan bankrap daripada tahun 2005 sehinggalah September 2011 di mana 25% adalah disebabkan ole kerana peminjam untuk membayar balik pinjaman sewabeli kereta.
Selain daripada itu, DRB-Hicom juga telah mengambil-alih Proton. Dan kenapa pula sesebuah syarikat korporat yang besar ini dibenarkan untuk terus menikmati faedah subsidi tersebut daripada kerajaan?
Dan walaupun pengeluar kereta nasional itu telah lama menikmati kemudahan subsidi dan dilindungi, ianya masih mengalami kerugian yang begitu kritikal dah yang paling terbaru, berdasar laporan prestasi untuk tahun berakhir 2011, Proton telah mengalami kerugian yang paling teruk sekali, mencecah sehingga RM3.4 billion.
Jadi adakah dasar tersebut berkesan dan jika sekiranya dasar perlindungan itu ditarikbalik, apakah implikasinya dan daya saing dapat membangunkan semula Proton yang kini sedang tenat.
Ketelusan dan pengisytiharan harta
Pengisytiharan harta yang dilaksanakan oleh ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan (Exco) negeri Pulau Pinang baru-baru ini telah membuka mata banyak pihak dan mengejutkan ramai pemimpin BN, khususnya daripada Umno yang kini serba salah sama ada perlu mengikuti jejak langkah Pulau Pinang ataupun sebaliknya.
Reaksi spontan beberapa pemimpin BN adalah pengisytiharan harta oleh menteri-menteri kabinet ini boleh mendedahkan mereka kepada risiko-risiko diancam penjenayah, kemungkinan diculik sebagai tebusan serta terperangkap dengan pelbagai tuduhan rasuah atau salahguna kuasa.
Walaubagaimanapun, pengisytiharan harta ini bukannya sesuatu yang baru di kebanyakan negara. Di Amerika misalannya, telahpun melaksanakan sistem tersebut sejak tahun 1978 dan daripada pengisytiharan itu didapati 11% daripada ahli kongresnya adalah terdiri daripada jutawan dan mereka yang kaya-raya.
Sementara di Taiwan pula, terdapat satu rang undang-undang yang mewajibkan para penjawat awamnya untuk mengisytiharkan harta mereka melalui internet portal kerajaan republik tersebut.
Kenapa pula para pemimpin Umno dan BN ini begitu takut? Kebimbangan mengenai rompakan dan penculikan ini haruslah pertanggungjawabkan kepada pihak polis dan tidak sepatutnya digunakan sebagai suatu alasan untuk tidak mengisytiharkan harta mereka.
Dan nampaknya, mereka ini sememang tidak berniat untuk berbuat demikian, apatah lagi melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) secara menyeluruh.
Kredibiliti terjejas
Baru-baru ini, kementerian dalam negeri telah menetapkan 15hb Februari ini sebagai tarikh akhir untuk pendaftaran dan pemutihan para pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di negara ini secara haram. Tarikh tutup asalnya adalah pada 10hb Januari yang lalu.
Sebelum ini, kerajaan telah menegaskan bahawa tarikh akhir pendaftaran dan pemutihan PATI itu tidak akan dilanjutkan lagi, namum masih ramai yang mengagak bahawa tarikh tersebut masih boleh dilanjutkan dan ternyata kerajaan telah sekali lagi berlembut dengan melanjukan tarikh akhir tersebut kepada sebulan lagi.
Kerajaan telah berkali-kali melanjutkan tarikh tutup tersebut dan perbuatan ini juga telah mengakibatkan kelewatan yang begitu ketara sekali untuk mengesahkan para pekerja asiing ini. Hasilnya, kredibiliti kerajaan di dalam menangani masalah tersebut terjejas.
Perdana menteri dan presiden Umno Datuk Najib Razak telah memperkenalkan beberapa rancangan transformasi kerajaan, politik dan ekonomi bagi menjana semula pendapatan negara dan rakyat, namum rancangan tersebut tidak menampakkan perlaksanaan yang menyeluruh di mana di sesetengah sektor ianya dilaksanakan serentak, manakala di kebanyakan sektor pula, perlaksanaannya agak lembab dan ridak mendapat sambutan atau langsung tidak diberikan perhatian dengan sepenuhnya. Pemikiran dan budaya kerja yang lembap di beberapa jabatan dan agensi masih subur di mata umum, menjadikan sebarang pencapaian adalah begitu mustahil sekali.
Bagi meraih semula sokongan dan undi daripada rakyat jelata, kerajaan perlulah memastikan transformasi tersebut dilansanakan secara menyeluruh atau tidak ada sebarang pencapaian yang akan berlaku.
Jadi, yang manakah lebih berkesan? Transformasi ataupun Reformasi? Penentu kini berada di tangan rakyat.
Malaysia Chronicle