Ketua Pembangkang Datuk Anwar Ibrahim berkata beliau langsung tidak gentar dengan kejadian di Sembrong, Johor pada Ahad lalu.
Menceritakan pengalaman di mana keretanya diserang kepada kira-kira 1,000 hadirin dalam satu lagi ceramah di Gombak Setia malam semalam, ketua umum PKR itu berkata kerajaan, khususnya Umno tidak lagi boleh memperbodohkan rakyat.
Menurut Anwar, beliau tiba di Sembrong kira-kira jam 11:30 malam dari Endau.
"Apabila saya berada di Semborong, kereta saya diserang dan ditendang, cermin hadapan dipecahkan oleh sekumpulan anak-anak muda.
"Terdapat polis di kawasan sekitar tetapi tidak berbuat apa-apa untuk mengawal keadaan. Malah semasa saya menyampaikan ucapan, mereka membaling mercun," katanya.
Anak-anak muda ini, dakwa Anwar, telah dibayar oleh Umno untuk menimbulkan kekacauan dan masalah.
"Mereka dibayar RM20 untuk menimbulkan kekacauan... inilah mentaliti belia kita yang telah rosakkan di tangan Umno.
"Jika masih ada sisa-sisa Umno di dalam diri kamu, buangkannya, sila berhenti, kerana ini memalukan bagi diri kita.
Anwar juga berkata, rakyat tidak harus diperbodohkan atau diperdayakan oleh parti itu. Sambil memetik senikata lagu Umno, beliau kemudian mendendangkan lagu itu: " Lambang kita yang gagah” sambil disambut gelak ketawa hadirin.
Dalam nada lebih serius, Umno, kata Anwar, boleh mengupah samseng untuk menganggu majlis Pakatan ataupun membidas dan memburuk-burukkan beliau dalam media, tetapi katanya, beliau tetap tidak gentar dan tdak akan bertolak ansur.
Pada kejadian malam Sabtu lalu, selain kereta Anwar dipecahkan, kira-kira 50 hingga 80 anak muda yang bermotosikal menggangu ceramah Pakatan di Sembrong dengan membuat bising serta merempit di kawasan sekitar.
Kejadian itu hanya salah satu daripada siri gangguan dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila pemimpin Pakatan cuba menggempur kubu-kubu BN, khususnya Umno menjelang pilihan raya umum akan datang.
Isnin lalu, kunjungan Anwar ke Felda Tun Ghafar Baba, di Machap, Alor Gajah juga dicemari oleh penyokong Umno yang mengganggu ceramah beliau.-utaranews