ARTIKEL SEBELUM

26/02/12

Ribuan hadir bantah Lynas di Kuantan


KUANTAN 26 Feb: Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan di padang Majlis Perbandaran Kuantan 4, dihadiri lebih 10,000 penyokong.

Perhimpunan tersebut bermula jam 10 pagi tadi bagi membantah pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

Peserta perhimpunan mula berkumpul di Padang MPK1, tempat asal perhimpunan selepas dimaklumkan oleh pihak pengajur bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Satu lagi tempat berkumpul ialah di pasar Kuantan sebelum mereka berarak ke padang MPK1 dan seterusnya ke padang MPK4.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba ke perhimpunan tersebut, kira-kira jam 10.40 pagi bersama Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Dalam ucapannya, Anwar berkata beliau sudah menyampaikan mesej bantahan rakyat kepada kerajaan Australia.

Menurutnya, pemimpin Umno tidak menghormati suara rakyat kerana lebih mengutamakan kepentingan syarikat tertentu, berbanding keselamatan rakyat.

Beliau juga memberi jaminan Pakatan Rakyat akan membuat usul tergempar mengenai bantahan itu kepada kerajaan Malaysia di parlimen.

Terdahulu, kebanyakan peserta yang hadir berpakaian hijau dan mula tiba di sekitar lokasi perhimpunan sejak jam 8 pagi.

Mereka melaungkan “Balik, balik. Lynas balik! Hancur, hancur. Hancur Lynas!”, selain membawa sepanduk yang memaparkan slogan anti Lynas.

Beberapa kumpulan NGO, pimpinan Pakatan Rakyat, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 juga dilihat hadir.

A Samad Said turut membacakan puisi bertajuk ‘Gebeng Yang Luka’.

Selain itu, pelbagai aktiviti dilakukan perserta himpunan itu, antaranya menyanyikan lagu ‘Suara Rakyat’ yang diketuai oleh aktivis sosial, Hishamuddin Rais, sebelum berarak ke padang perhimpunan.

Lokasi tempat perhimpunan tersebut bagaikan tapak pesta dengan pelbagai aksi dapat dilihat.

Antara yang turut dipersembahkan ialah paluan kompang dan persembahan drama yang mempersendakan menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob oleh NGO Jingga 13.

Kehadiran mereka disambut oleh penduduk Kuantan yang membunyikan hon kereta, tanda sokongan terhadap Himpunan Hijau.

Antara pemimpin KEADILAN yang dilihat turut berarak bersama orang ramai adalah Naib Presiden, N Surendren, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Lateefah Koya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud