ALOR SETAR Menteri Besar Kedah menegaskan, spekulasi yang mengatakan tiga anggota exco dari PAS telah menolak pelantikan mereka semula kerana memprotes kepimpinannya adalah palsu dan tidak benar kerana tidak ada seorang pun setakat ini yang menerima surat tersebut.
Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, surat pelantikan semula belum pun dikeluarkan lagi jadi macamana nak menolaknya.
Sebaliknya kata beliau, surat pelantikan semula itu akan dikeluarkan sejurus sebelum majlis angkat sumpah di hadapan Sultan pada Selasa, 28 Februari ini.
“Seperti biasa orang menyebarkan macam-macam perkara tak betul tentang kerajaan negeri ini sejak sekian lama," ujarnya lagi.
Dan sebahagian besar daripada perkara-perkara yang disebarkan itu terbukti kemudiannya sebagai tidak benar, kata Azizan lagi.
Azizan berkata demikian sebagai mengulas spekulasi yang terbit dalam sebuah akhbar pada Khamis yang mengatakan terdapatnya cakap-cakap tiga daripada tujuh anggota exco PAS telah menolak pelantikan semula mereka.
Kerajaan Kedah sepertimana Kerajaan Perlis membuat pelantikan semula jawatan anggota exco kerajaan negeri setiap tahun.
Akhbar berkenaan memetik sumber-sumber sebagai berkata, ketiga-tiga exco berkenaan menolak pelantikan semula mereka kerana kononnya tidak berpuashati dengan cara Azizan menangani beberapa isu dalam negeri itu.
Dan salah seorang daripada anggota exco itu adalah yang disebut-sebut bakal mengantikan Azizan ketika beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Timbalan Pesuruhjaya PAS II Kedah, Dr Ismail Salleh ketika dihubungi wartawan The Star menegaskan mereka tidak tahu menahu mengenai spekulasi tersebut dan enggan memberi sebarang kenyataan buat masa ini.
Phahrolrazi yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerjaraya, Air dan Tenaga Negeri menegaskan adalah lebih baik untuk beliau tidak mengeruhkan keadaan dengan memberi kenyataan berhubung isu tersebut.
Sementara Dr Ismail yang mempengerusikan Jawatankuasa Kesihatan, NGO, Sumber Manusia, Sains, Inovasi, Komunikasi dan Teknologi Maklumat Negeri juga enggan mengulas.
Dr Ismail cuma berkata, adalah lebih baik untuk semua pihak menunggu tarikh mengangkat sumpah.
Sementara itu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, semua pihak tidak harus percaya kepada spekulasi seperti itu kerana ia bukanlah dari sumber yang rasmi.
"Ini hanya satu spekulasi...tak boleh percaya. Tunggulah hari pelantikan semula nanti,” katanya ketika ditemui para pemberita selepas melancarkan Karnival Kedah Sejahtera di Kompleks Pas Pokok.
Abdul Hadi menegaskan sebagai menteri besar, Azizan berhak melantik atau menguggurkan mana-mana pihak sebagai anggota exco kerana ia adalah satu proses biasa dalam pentadbiran.