Satu majlis pemberian baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Jinjang, Kuala Lumpur hari ini kecoh apabila ratusan penerima bantuan itu mengerumuni pentas untuk mendapatkan habuan masing-masing.
Malah ada di antara kumpulan penerima bantuan itu saling tolak-menolak sehingga menyebabkan pemberian baucar tersebut dihentikan seketika.
Seorang petugas BN kemudiannya terpaksa menenangkan individu berkenaan dengan menyatakan bahawa jumlah baucar itu mencukupi untuk diedarkan kepada semua penerima.
"Baucer cukup! Baucer cukup! Kita akan selesaikan tak kira sampai pukul berapa.
"Urusetia dalam perjalanan untuk bawa baucer lagi," kata petugas itu lagi melalui pembesar suara.
Kumpulan penerima baucear itu mula mengerumuni pentas setelah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin beredar meninggalkan majlis berkenaan pada kira-kira jam 6 petang ini.
Para petugas itu kemudiannya berpecah kepada beberapa kumpulan di sekitar tapak program berkenaan untuk membahagikan baucer bernilai RM500 itu.
Dalam pada itu, seorang penerima baucer berkenaan ketika ditemui Malaysiakini berkata beliau gembira kerana mendapat baucer BR1M.
"Saya tunggu dari jam 1 (petang) lagi. Sekarang baru dapat," katanya yang enggan dinamakan.
Bagaimanapun beliau berpendapat bahawa majlis seperti itu tidak sepatutnya diadakan di kawasan seperti di Projek Perumahan Rakyat Beringin itu.
Ia sepatutnya diadakan di lokasi yang lebih mudah dikunjungi seperti bangunan sekolah, katanya lagi.