ARTIKEL SEBELUM

9/02/12

Janda, gadis pilihan sindiket

KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran dadah didalangi warga Afrika kini memilih untuk merekrut keldai dadah dalam kalangan janda atau gadis-gadis yang bekerja di pasar raya atau berniaga secara kecil-kecilan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, modus operandi sindiket dadah itu adalah melantik wanita tempatan menjadi anggota sindiket dadah dan menyuruh mereka mencari keldai dadah lain di negara ini.

“Keldai dadah yang menjadi pilihan sindiket dadah masa ini adalah janda, gadis-gadis yang bekerja di pasar raya atau menjalankan perniagaan kecil sendiri,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, wanita-wanita yang bergaji kecil atau mempunyai masalah dalam kewangan diyakini lebih mudah direkrut menjadi keldai dadah.

Noor Rashid memberitahu, sepanjang tahun lalu, seramai 76 orang rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan dadah dan daripada jumlah itu 49 orang merupakan keldai dadah.

“Daripada 49 orang keldai dadah yang ditahan itu separuh daripada mereka merupakan wanita,” katanya.

Beliau berkata, kesemua 49 keldai dadah ditahan di negara asing seperti China seramai 13 orang, Indonesia (13), New Zealand (10), Thailand (5), Singapura (3) dan seorang masing-masing Australia, Belanda, Argentina, Macau dan Pakistan.

Kata beliau lagi, keldai dadah itu tahu bahawa kandungan barangan yang dibawa mereka ialah dadah dan mereka secara sukarela menjadi keldai dadah kepada sindiket itu demi mendapatkan puluhan ribu ringgit.- kosmo


NOOR RASHID (kiri) menunjukkan dadah yang disembunyikan dalam silinder piston kereta yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud