ARTIKEL SEBELUM

27/02/12

Isu khalwat: Badrulamin dakwa ada saksi


Pengarah Penerangan kerajaan Selangor Dr Badrulamin Bahrom hari ini mendakwa beliau mempunyai saksi bagi membuktikannya tidak bersalah atas dakwaan khalwat dengan isteri orang di Kuantan pada Sabtu.

"Saya bukan berdua-duaan. Anak perempuan itu dan beberapa orang lagi turut berada di situ," katanya yang enggan mendedahkan saksi itu pada masa ini.

Bernama sebelum ini melaporkan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz sebagai berkata, "seorang pemimpin PKR" ditangkap khalwat di sebuah hotel di Balok penguatkuasa badan agama itu.

Badrulamin yang juga ketua cabang PKR Sabak Bernam menafikan dakwaan itu dan beranggapan kejadian itu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkannya.

Beliau disiasat bawah Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dipanggil memberikan keterangan di Kuantan hari ini.

Badrulamin menegaskan beliau tidak bersalah dan merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohd Ghazali dan media yang melaporkan dakwaan itu.

"Kenyataan yang dibuat timbalan pengarah JAIP berniat jahat dan sengaja hendak memalukan saya," katanya lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kesnya itu sebelum memberikan keterangan petang ini dan perlu mendapatkan nasihat peguamnya terlebih dahulu.

"Petang ini hanyalah siasatan awal. Saya hanya datang dengan peguam saya untuk beri keterangan. Isteri saya juga ikut untuk sokongan moral," katanya lagi melalui SMS selepas itu.-Mkini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud