JOHOR BAHRU - Pakatan pembangkang di negeri ini memohon pihak berkuasa agar melakukan siasatan terperinci berhubung pengedaran lebih 10,000 keping risalah yang mencemar nama baik parti komponen Pakatan Rakyat (PR) di sekitar kawasan Pengerang, Kota Tinggi, 22 Februari lalu.
Kejadian jam kira-kira 3.40 pagi itu menyaksikan dua individu ditangkap ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pengerang seterusnya dibawa ke Balai Polis Sungai Rengit.
Ketua Penerangan AMK Cabang Pengerang, Syed Abdullah Syed Abdul Mutalib berkata, dua individu terbabit ditangkap olehnya dan beberapa rakan lain selepas meninggalkan risalah fitnah berkenaan di Kampung Teluk Ramunia, Kota Tinggi.
“Saya bersama dua rakan sedang minum di sebuah warung selepas selesai kerja memasang kain rentang mengenai aktiviti Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ketika itu, kelihatan sebuah kereta berlegar-legar beberapa kali di hadapan warung sebelum kenderaan terbabit berhenti di lokasi kami memasang kain rentang.
“Kami nampak individu dalam kereta terbabit seperti meletakkan sesuatu di bawah pokok seterusnya beredar. Kami segera ke lokasi berkenaan seterusnya menemui risalah fitnah antaranya mengatakan Pas sebagai parti penipu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa dan Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kaiat.
Naib Ketua PKR Cabang Pengerang, Yahya Maspiie berkata, kedengaran pengakuan bahawa dua lelaki terbabit bahawa mereka adalah anggota polis ketika keterangan diambil di samping tertera logo pelekat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada cermin hadapan kereta dinaiki.
“Saya sendiri tidak dapat sahkan sama ada benar atau tidak dua individu terbabit adalah pihak berkuasa. Jadi, laporan yang dibuat oleh Syed Abdullah ini adalah bertujuan mengelakkan ada pihak secara sewenang-wenangnya membuat fitnah tidak berasa ke atas PR,” katanya.
Sementara itu, Ketua PKR Cabang Pengerang, Zulkifli Daud mahu polis menyiasat hal tersebut secara menyeluruh.
“Kalau benar mereka mahu berpolitik, biarlah secara berilmiah. Kami menolak politik secara adun domba, fakta biarlah lawan dengan fakta atau hujahan,” katanya. - SH