ARTIKEL SEBELUM

6/02/12

Cadangan bubar Parti Kita kekal

G MANIMARAN

SHAH ALAM - Datuk Zaid Ibrahim menegaskan, cadangan beliau mahu membubarkan Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita), yang diterajuinya masih kekal dan usul berkenaan akan dibawa ke mesyuarat majlis eksekutif hujung bulan ini.

Zaid mengumumkan cadangan untuk membubarkan parti berusia setahun itu, Khamis lalu.

"Ia (cadangan untuk membubarkan Kita) kekal. Saya akan membawa usul itu ke mesyuarat majlis eksekutif pada hujung bulan ini," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online lewat malam ini.

Presiden Kita itu menjelaskan, apa yang dilaporkan oleh media awal hari ini "tidak betul."

"Tidak betul," katanya.

Terdahulu Sinar Harian Online membawa laporan bahawa Zaid telah menarik balik keputusan untuk membubarkan Kita, tiga hari selepas beliau mengejutkan banyak pihak termasuk ahli dan pengikutnya akan memanggil satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi tujuan itu.

Sinar Harian Online difahamkan Zaid menerusi pegawai kanannya telah memaklumkan beberapa pengerusi negeri pagi ini.

Pengerusi Kita Johor, Dr Mohd Zaid Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan perkara itu. Malah beliau turut memaklumkan perkara itu kepada pemberita di Batu Pahat lewat petang tadi.

"Saya menerima panggilan sekitar jam 8 pagi tadi, Pegawai Perhubungan Pusat parti Kita, Aziz Kadir ada menghubungi saya untuk memaklumkan pendirian terbaru Datuk Zaid iaitu tidak mahu membubarkan parti Kita, EGM tidak akan diadakan," kata beliau.

Justeru kata Mohd Zaid, jika benar perkembangan tersebut, pihaknya menyambut baik keputusan itu memandangkan memang tiada alasan atau sebab Kita harus dibubarkan.

Kata Mohd Zaid, beliau mengucapkan terima kasih kepada Zaid kerana bersedia untuk mendengar pandangan pengerusi-pengerusi negeri yang merasakan tidak perlu diadakan EGM untuk membubarkan Kita.

ZAID IBRAHIM

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud