KOTA BHARU, 8 Feb: Seorang peguam terkenal yang juga ahli politik, Datuk Sukri Mohamed memfailkan saman terhadap blogger pro-Umno, Papagomo di Mahkamah Tinggi di sini.
Saman terbabit difail ekoran tulisan dalam blog Papagomo atau nama sebenarnya Wan Mohamad Azri Wan Deris dikatakan memfitnah secara terbuka peguam terbabit.
Sukri diwakili peguam Hisham Fauzi memfailkan saman tersebut baru-baru ini.
Dalam tuntutannya plaintif memohon defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dengan menyiarkan permohonan maaf dalam blog defendan di alamat www.papagomo.com.
Defendan juga perlu mengiklankan permohonan maaf tersebut dalam akhbar nasional harian berbahasa Melayu dan bayaran gantirugi sebanyak RM10 juta.
Selain itu memohon gantirugi teladan, gantirugi melampau dan gantirugi punitif.
Plaintif juga merupakan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri dan ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan.
Defendan tinggal di Villa Apartment, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur dan merupakan pemilik dan penulis ruangan blog; http://www.papagomo.com.
Dalam blog terbabit defendan menyiarkan tulisan bertajuk “ratusan ribu wang rakyat lesap disamun penasihat Sultan Kelantan” pada 4 Mei 2011.
Artikel tersebut disifatkan plaintif secara jelas menyebut berita yang tidak benar dan tidak berasas.
Bagaimanapun mahkamah masih belum menetapkan tarikh bagi sebutan kes berkenaan.
Sementara itu dalam perkembangan lain Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 Mac hadapan bagi mendengar kes sebutan sementara perbicaraan kes tiga penduduk Orang Asli menyaman kerajaan negeri.
Sebelum ini tiga penduduk terbabit iaitu Rosli Along, Angah Along dan Hassan a/l Alang dari Pos Belatim, Gua Musang memfailkan saman terhadap kerajaan negeri.
Mereka menuntut supaya kerajaan negeri membatal kelulusan tanah di mukim hulu Nenggiri bagi pembangunan ladang.
Tanah tersebut dilulus kerajaan negeri untuk pembangunan ladang yang dikendalikan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.
Kerajaan negeri diwakili peguam Zainal Abidin Mustafa dan dua lagi peguam, manakala ketiga-tiga plaintif diwakili Adrew mewakili Tetuan Lee Hishamudin. Prosiding tersebut dikendalikan di hadapan Hakim Azman Abdullah.
Pada afidavit sebelumnya plaintif menyifatkan pemberian hak milik tanah di Pos Belatim sebagai menyalahi undang-undang.
Mereka menganggap sebagai pemegang hak milik adat Orang Asli atau hak milik adat komunal Orang Asli terhadap tanah di Pos Belatim.
Zainal Abidin bagaimanapun berkata, kerajaan negeri memohon untuk membatalkan saman tersebut kerana tanah berkenaan sebagai milik kerajaan dan tidak pernah diberi kepada sesiapa sebelum ini.