ARTIKEL SEBELUM

19/02/12

Adalah cukup jelas bahawa seluruh jentera propaganda Barisan Nasional (BN), termasuk mereka yang mendakwa diri mereka “kuasa ketiga” kini giat sekali

Isu moral di antara Anwar dengan BN

Adalah cukup jelas bahawa seluruh jentera propaganda Barisan Nasional (BN), termasuk mereka yang mendakwa diri mereka “kuasa ketiga” kini giat sekali dalam memastikan agar kredibiliti dan moral ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terjejas dengan teruk sekali.

Sebelum ini, jentera propaganda BN telahpun dipergiatkan pada dua tahun yang lalu dengan serangan demi serangan terhadap Anwar berkenaan dengan kes perbicaraan liwat yang melibatkan Saiful Bukhari Azlan. Jika sekiranya kes yang berlaku pada tahun 1998 akibat daripada perbuatan khianat Azizan Abu Bakar diambil kira, ia adalah mencukupi bagi orang ramai untuk membentuk suatu pendapat yang boleh menjejaskan lagi masa depan politik dan keperibadian Anwar di mata umum.

Dan kini timbul pula beberapa rakaman video yang kononnya Anwar telah melakukan hubungan seks dengan seorang wanita yang juga telah berlanjutan selama setahun lamanya dan Anwar turut diugut akan terdedah lebih banyak lagi video seumpamanya tidak lama lagi.

BN pakar dan kilang seks

Kenapa pula BN memutuskan untuk mengulangi pendedahan yang sama dengan begitu kerap sekali? Kenapa pula seksualiti Anwar terus menjadi tumpuan BN secara berterusan dan dakwaan meliwat, berseks dan sebagainya diulangi satu demi satu? Namun demikian ketua pembangkang itu tetap popular dan disangjungi oleh rakyat jelata.

Kan tidak masuk akal? Rakyat Malaysia pada umumnya telahpun mempunyai pendapat mereka terhadap Anwar. Macam mana sekali pun, seluruh jentera propaganda BN tetap mempergiatkan usaha mereka untuk menggugat kredibiliti Anwar oleh kerana popularitinya di kalangan rakyat masih kukuh dan tetap unggul. BN takut bahawa Anwar dan Pakatan Rakyat kini semakin menghampiri Putrajaya.

Kedegilan BN untuk meneruskan dan mengulangi persembahan dan pembikinan seksnya yang sama untuk tatapan umum walaupun telah beberapa kali gagal untuk mencacatkan sepenuhnya keperibadian dan moraliti Anwar jelas menunjukkan bahawa kewarasan BN telah hilang dengan sepenuhnya.

Hanya mereka yang kurang waras sahaja yang akan asyik dan suka mengulangi perbuatan yang sama dan tidak berkesan dengan mengharapkan akibat yang berlainan akan menimpa mangsanya. Rakyat Malaysia pada keseluruhannya telah bosan dengan pelbagai karenah dan tipu muslihat BN yang sering mengancam keperibadian Anwar.

Apa yang rakyat jelata inginkan selama ini adalah lebih banyak lagi pendedahan mengenai salahlaku dan penyalahgunaan kuasa yang diamalkan oleh BN selama lebih daripada 50 tahun pemerintahannya apabila Pakatan berkuasa nanti. Ramai di antara kita amat sangsi dengan ketelusan yang didakwa oleh BN di dalam pentadbiran mereka selama ini berdasarkan pelbagai bentuk masalah dan skandal demi skandal yang telah banyak dibongkar.

Pemimpin di mata umum

Kita semua percaya bahawa sebagai seorang pemimpinyang dipilih dan bertanggungjawab kepada rakyat, beliau akan sentiasa mendapat perhatian umum biarpun di mana sahaja seseorang pemimpin itu berada. Oleh itu, para pemimpin haruslah bertanggungjawab sepenuhnya jika sekiranya salahlaku mereka terbongkar kepada umum. Pendek kata, jikalau ingin menjadi seorang pemimpin politik, beliau perlulah bersedia untuk menghadapi situasi sebegini kerana tanggungjawab selaku seorang pemimpin.

Rakyat juga mempunyai hak mutlak untuk memberikan kritikan, memberikan teguran dan sebarang pendapat mengenai perilaku dan perbuatan setiap pemimpin politik.

Yang malang sekali bukannya tentang kelemahan yang ada pada para pemimpin. Para pemimpin adalah juga manusia sama seperti kita semua dan di negara mana sekali pun, tidak akan ada seseorang pemimpin yang cukup mantap atau lengkap akan diri mereka. Itu mustahil.

Yang malangnya di sini adalah selalunya para pemimpin pembangkang khususnya daripada Pakatan yang selalunya akan menjadi mangsa pemerhatian umum mengenai perilaku dan tindakan mereka oleh kerana kerajaan BN sering mensasarkan mereka dengan media massa milik mereka. BN sanggup melakukan apa sahaja bagi “mendedahkan” apa yang mereka dapati daripada pihak pembangkang.

BN memanupulasi moral

Sistem perundangan dan kehakiman di negara kita ini telah banyak menampakkan kecacatan dan berat sebelah oleh kerana manupulasi yang berlebihan oleh kerajaan BN selama ini. Dengan itu, isu “moral” sering dipergunakan oleh BN bagi mengekang para pemimpin pembangkang.

Dalam isu moral ini, pihak BN pula tidak begitu memastikan agar tahap perilaku mereka terpelihara. Di manakah moral mereka ini apabila para pemimpin BN ini menggunakan kuasa mereka untuk mengambil wang rakyat untuk memperkayakan diri mereka, keluarga mereka dan anak-anak mereka? Di manakah moral mereka ini apabila pemimpin BN ini telah membelakangkan demokrasi dengan menggulingkan sebuah kerajaan negeri yang dipilih rakyat melalui amalan memeras ugut? Adakalh kesemua ini adalah suatu moraliti yang BN berharap rakyat akan mempercayai atau menerimanya tanpa usul periksa?

Rakyat sememangnya akan berpeluang untuk menghakimi kesemua ini di dalam pilihanraya umum yang akan datang. Kita mungkin akan bertanyakan sesama sendiri sama ada moral di pihak BN itu adalah lebih baik atau suci daripada Pakatan atau sebaliknya.

Adalah amat rumit untuk memutuskan moraliti yang mana boleh diterima atau sebaliknya kerana kalangan kita sendiri juga punyai pelbagai pemikiran dan pendapat yang berbeza khususnya yang melibatkan keperibadian seseorang pemimpin.

Kita semua berhak untuk mengeluarkan pendapat, akan tetapi, yang mengakibatkan kemarahan kita adalah sikap kebencian dan hipokrit yang ditunjukkan oleh para pemimpin BN di dalam usaha mereka untuk mematikan seberapa banyak pemimpin pembangkang yang perlu dengan menggunakan pelbagai cara yang tidak adil.

Walaubagaimanapun, Tuhanlah yang maha esa dan Tuhanlah yang mengetahui segala-galanya.

Malaysia Chronicle

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud