Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR 30 Jan : Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, sekiranya Mahkamah Rayuan berpegang kepada fakta, sudah tentu rayuan yang difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditolak.
“Jika Mahkamah berpegang fakta, rayuan ini wajib ditolak. Hujah (peguam bela) dikemukakan sebelum ini kukuh, kredibiliti pengadu (Saiful Bukhari) dipersoalkan.
“Sampel DNA dan (siasatan) forensik juga tidak dapat membuktikan Anwar bersalah,” katanya kepada keadilandaily.com
Bagaimanapun menurut Sivarasa, Pakatan Rakyat perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi kerana kes ini adalah kes politik yang dirancang sejak 1998.
“Sistem (kehakiman) di Malaysia masih dilihat tidak bebas dari kongkongan politik. Mengikut pengalaman saya dari kes 1998, Mahkamah Rayuan dan Persekutuan masih boleh diperalat pemerintah,” kata beliau yang juga peguam.
Sementara itu Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh menyifatkan tindakan Peguam Negara terpaksa dibuat mengikut ‘skrip’ yang disediakan.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua pula menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menamatkan usaha jahat untuk memenjarakan semula Anwar.
“Perdana Menteri kena ambil langkah mengakhiri perkara ini kerana ia mencemar nama baik Malaysia. Peguam Negara boleh menarik balik rayuan ini dan melakukan perkara yang wajar,” katanya kepada keadilandaily.
Menurutnya lagi, sistem keadilan tidak sepatutnya dikongkong dan harus bebas daripada campur tangan mana-mana parti politik.
“Isu (Fitnah II) digunakan sebagai alat politik untuk menamatkan karier ketua pembangkang,” kata Ketua Publisiti DAP itu.