(Oleh: Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR : Keputusan untuk merehatkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil adalah strategi Datuk Seri Najib Razak untuk menyelamatkan Ketua Wanita Umno itu dalam skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), kata Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.
“Mengapa kini baru Shahrizat merancang cuti sedangkan telah digesa banyak pihak agar beliau mengundurkan diri sewaktu isu ini didedahkan awal dahulu.
“Kelulusan permohonan cuti ini jelas satu lagi pelan strategi Datuk Najib untuk menyelamatkan Shahrizat, NFC dan kroninya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, keputusan untuk bercuti itu sudah terlambat, sebaliknya Shahrizat perlu segera berundur kerana skandal itu telah diketahui umum.
“Shahrizat harus sedar, tindakannya ini sudah terlambat kerana rakyat kini sudah mula bersuara menuntut penjelasan.
“Atas dasar hormat politik, saya sarankan Shahrizat segera mengundurkan diri secara terhormat,” tegas Ahli Parlimen Ampang ini.
NFC- yang dimiliki suami dan anak-anak Shahrizat menerima pinjaman mudah sebanyak RM250 juta dari kerajaan pada 2007, namun sebahagiannya didakwa telah diselewengkan.
Ia termasuk pembelian kondominium mewah di Kuala Lumpur dan Singapura berharga RM23 juta, pembelian tanah di Putrajaya, pembelian kereta mewah Mercedez Benz, membayar keahlian kelab golf dan pelbagai transaksi meragukan.
Terbaru, KEADILAN mendedahkan hampir RM600,000 digunakan dari dana NFC untuk membiayai kad kredit ahli keluarga Shahrizat pada 2009.
Selain Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meluluskan pinjaman itu, turut terlibat dalam skandal ini, ialah Perdana menteri sendiri selaku Pengerusi Projek Impak Tinggi yang meluluskan projek berkenaan.